BERITA SEMASAPOLITIK

MIC nafi hantar permohonan rasmi sertai Perikatan Nasional


KUALA LUMPUR – MIC menegaskan surat yang dihantar kepada Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini bukanlah permohonan rasmi untuk menyertai gabungan berkenaan sebaliknya hanya bagi mendapatkan maklumat awal sebelum parti itu membuat keputusan muktamad mengenai hala tujunya.

Setiausaha Agung MIC, S. Ananthan berkata, surat berkenaan dihantar empat hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) parti sebagai langkah awal memahami pendirian dan perincian yang diperlukan sekiranya MIC mempertimbangkan penyertaan dalam PN.

“Ia bukan surat permohonan menyertai PN. Surat itu hanya bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Kami mahu mengetahui bentuk keahlian, proses kemasukan serta kedudukan MIC sekiranya diterima sebagai komponen PN,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mendakwa MIC telah mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai gabungan itu dan perkara tersebut akan dibincang Majlis Tertinggi PN pada Disember.

Menurut Ananthan, tindakan menghantar surat itu dibuat selepas beberapa pemimpin PAS termasuk Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengundang MIC untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemungkinan kerjasama.

MIC turut menuntut penjelasan mengenai komitmen PN terhadap pembangunan masyarakat India, khususnya dalam aspek pendidikan, sosioekonomi dan representasi politik.

“Kami perlukan gambaran penuh sebelum membuat keputusan besar mengenai hala tuju parti.

“Kami juga mahu jelas sama ada penyertaan MIC diterima secara automatik atau terdapat syarat tertentu yang perlu dipatuhi,” jelasnya.

Sebelum ini, laporan media memetik Muhyiddin sebagai berkata permohonan MIC telah diterima dan sedang diteliti.

Untuk rekod, AGM MIC tahun ini memutuskan untuk menangguhkan keputusan mengenai kedudukan parti dalam Barisan Nasional (BN).

Perwakilan memberi mandat penuh kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, bersama Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk menentukan hala tuju parti.

Dalam sidang media selepas AGM, Vigneswaran memberi bayangan bahawa opsyen meninggalkan BN masih terbuka, bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button