BERITA SEMASAPOLITIK

PN dijangka umum ketua pembangkang baharu sebelum Jun

ARAU – Perbincangan mengenai pemilihan Ketua Pembangkang baharu bagi Perikatan Nasional (PN) masih berlangsung antara pimpinan tertinggi dan Ahli Parlimen gabungan itu.

Ahli Jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan bagi jawatan tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum Sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, keputusan rasmi mengenai jawatan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya sebelum sidang Parlimen berlangsung.

“Kita akan tunggu keputusan PAS Pusat nanti. Perbincangan mungkin akan membuahkan keputusan siapa Ketua Pembangkang baharu sama ada pada April atau Mei ini.

“Yang paling penting ialah pelantikan sebelum Parlimen bermula. Jawapan ini perlu diberikan kerana rakyat ingin tahu perkembangan mengenainya,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perpaduan Ummah Parlimen Arau seperti laporan Harian Metro , di sini, malam tadi.

Untuk rekod, Sidang Parlimen akan datang dijadualkan berlangsung bermula 22 Jun hingga 16 Julai depan.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, fokus utama blok pembangkang ketika ini bukan soal jawatan, sebaliknya tumpuan lebih besar terarah kepada isu nasional dan ancaman keselamatan global.

Beliau memberi contoh kenaikan harga minyak dan kedudukan strategik Selat Melaka sebagai laluan utama perdagangan minyak dunia yang memerlukan perhatian serius kerajaan.

“Selat Melaka adalah antara laluan minyak paling sibuk di dunia, apa yang terjadi dalam peperangan di Iran memberi kesan kepada Malaysia.

“Disebabkan itu kita perlu membincangkan perkara berkaitan keselamatan masa depan dan ancaman global kepada negara dengan perkaran ini tidak boleh diambil mudah,” katanya.

Isu kedudukan Ketua Pembangkang Parlimen menjadi tumpuan susulan status Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada BERSATU pada 13 Februari lalu, namun masih memegang jawatan tersebut sehingga kini.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang serta kedudukan kerusi Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat dalam Dewan Rakyat masih kekal dan tidak berubah buat masa ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button