BERITA SEMASA

DBKL sita barangan 16 penjaja, dua restoran diarah tutup

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan perniagaan milik 16 penjaja tanpa lesen termasuk 10 warga asing dan enam warga tempatan dalam satu tindakan khas di Pasar Pudu, Jalan Yew dan Pasar Pagi Taman Midah, di sini, kelmarin.

Menurut DBKL, tindakan serbuan itu membabitkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan, penjaja dan individu warga asing.

“Ia termasuk menjalankan atau mengendalikan aktiviti perniagaan membabitkan barangan basah, sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit tanpa kebenaran pihak berkuasa dan keadaan premis restoran makanan.

“Hasil serbuan dijalankan, sejumlah 16 penjaja tanpa lesen membabitkan 10 warga asing dan enam warga tempatan yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen diambil tindakan sita dan pindah barangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

DBKL berkata, pihaknya juga menutup serta merta dua buah restoran yang didapati berada dalam keadaan kotor untuk beroperasi.

“DBKL turut mengeluarkan lima notis kompaun ke atas pemilik gerai yang melantik pembantu gerai tanpa kebenaran, pemilik tiada di lokasi perniagaan, pengendali makanan tiada suntikan tifoid dan langgar syarat lesen yang dikeluarkan.

“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016,” katanya.

Menurutnya, semua barangan dan peralatan yang disita dihantar ke Stor Sitaan DBKL Taman Miharja, Cheras Kuala Lumpur untuk rekod dan dokumentasi.

“Tindakan khas ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Sebarang aduan atau maklumbalas, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan berikut https://adukl.dbkl.gov.my/ ,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button