Menteri sifatkan pendedahan kegiatan songsang di Chow Kit membimbangkan
KUALA LUMPUR – Penahanan 201 individu dalam serbuan mengejut di sebuah kelab kesihatan di Chow Kit, yang dipercayai menjadi pusat aktiviti seksual songsang, mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan, moral dan agama dalam masyarakat bandar raya ini.
Serbuan dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat lalu itu bukan sahaja membongkar kegiatan tidak bermoral yang didakwa telah lama beroperasi, malah turut mengundang perhatian dua menteri bertanggungjawab terhadap aspek Wilayah Persekutuan dan Hal Ehwal Agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa menyifatkan tangkapan itu sebagai amat mengejutkan dan menuntut tindakan sistematik serta pemantauan berkala oleh pihak berkuasa.
Beliau menegaskan, usaha membanteras aktiviti sebegitu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai agensi.
“Kita sudah ada KL Strike Force yang akan terus memantau lokasi berisiko bersama polis dan agensi lain bagi membanteras kegiatan tidak bermoral seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di ibu negara hari ini.
Zaliha menambah, kerjasama lebih terperinci sedang dirangka bagi memastikan kawasan terbabit dapat dikawal sepenuhnya, selaras tanggungjawab kerajaan menjaga nilai moral dan keselamatan masyarakat.
Dalam sidang media sama, Mohd. Na’im menegaskan, kes membabitkan kesalahan moral yang besar bukan sahaja salah dari sudut undang-undang, malah turut bertentangan dengan ajaran agama.
Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalinkan kerjasama rapat bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil.
Menurut Mohd. Na’im, perbuatan tersebut jelas melanggar undang-undang negara termasuk Seksyen 25 dan Seksyen 47 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1977, selain berkaitan percubaan melakukan liwat seperti diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan.
Tegas Mohd Na’im lagi, kempen mendidik masyarakat Islam mengenai gejala seksual songsang juga akan dipertingkatkan.
“Sebagai sebahagian usaha membina Negara Madani, nilai moral dan akhlak mesti dijunjung tinggi. Perbuatan yang berlaku jelas bertentangan dengan nilai-nilai ini,” tegasnya.
Tambah Mohd. Na’im, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas, termasuk memanggil individu terlibat bagi siasatan lanjut, selain beliau turut menyeru masyarakat Islam bekerjasama membanteras perbuatan songsang di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















