JENAYAH & MAHKAMAH

Shamsul Iskandar, Albert Tei direman enam hari bantu siasatan SPRM

PUTRAJAYA – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama ahli perniagaan, Albert Tei direman selama enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah.

Perintah reman sehingga Khamis itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Putrajaya, Fatin Muneerah Sofia pagi tadi.

Shamsul Iskandar dan Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing tiba di mahkamah pada jam 8.59 pagi, masing-masing memakai baju lokap SPRM berwarna oren serta bergari, diiringi beberapa pegawai SPRM.

Peguam yang mewakili kedua-dua mereka, Zaid Malek (mewakili Albert Tei) dan Yusmadi Yusof (mewakili Shamsul), memaklumkan perkembangan permohonan reman itu kepada media selepas prosiding selesai.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan Albert Tei sebagai individu penting dalam siasatan berkaitan dakwaan rasuah membabitkan Shamsul Iskandar.

Beliau turut berkata, SPRM telah menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert, yang membolehkan siasatan dibuat tanpa memberikan akses kepada peguam dan mana-mana pihak luar ketika proses awal siasatan.

Sementara itu, seorang lagi individu, Sofia Rini, telah direman empat hari bermula semalam sehingga Isnin bagi membantu siasatan kes sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button