BERITA SEMASA

Sumbangan NGO di PPS amat dialu-alukan, perlu lalui prosedur ditetapkan

TUMPAT – Sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) amat dialu-alukan namun masih perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

Ketua Pengarah, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim berkata, setakat ini pihaknya menerima satu aduan berkaitan penyelarasan bantuan daripada NGO ke satu PPS di negeri ini.

Beliau menjelaskan, garis panduan yang dikuatkuasakan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak tetapi untuk mengelakkan keadaan tidak teratur di PPS.

“Kami alu-alukan bantuan, tak pernah tolak tapi mesti ikut prosedur.

“Ini bukan soal kawalan tapi penyelarasan supaya tidak bertindan sebab kadang-kala satu PPS terima terlalu banyak barang yang sama seperti air minuman, sedangkan PPS lain kekurangan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting, di sini hari ini.

Semalam, tular di media sosial dakwaan satu NGO yang dikatakan tidak dapat menyalurkan bantuan air mineral, makanan kering, set kebersihan diri untuk mangsa banjir di sebuah PPS di Bachok.

Meor Ismail menjelaskan, mana-mana NGO yang ingin menghantar bantuan ke PPS perlu berhubung sama ada melalui Ketua Jajahan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau mendapatkan kelulusan Ketua Polis Daerah.

“Hubungi sahaja, mereka beroperasi 24 jam,” katanya lagi.

Mengenai bantuan kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS, beliau memberitahu pihak NGO bebas menyalurkan bantuan secara terus kepada keluarga terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button