BERITA SEMASA

Difitnah guna kelayakan akademik palsu: Calon BN Kunak muat naik gambar, video pada majlis graduasi

KUNAK – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Anil Sandhu menepis dakwaan memiliki kelulusan akademik yang tidak sah dengan memuat naik gambar dan video ketika menghadiri Majlis Graduasi Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM SPACE) 2025.

Anil yang berjaya memperoleh Ijazah
Professional Master in Political Science berkata, dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang tersebut setelah melalui tempoh dua tahun yang penuh cabaran.

Dalam perkongsian menerusi laman Facebooknya, Anil menzahirkan kesyukuran apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajian yang sepatutnya disempurnakan pada tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan ke tahun ini.

Anil berkata, pelbagai dugaan terpaksa ditempuh sepanjang pengajian, termasuk kekangan masa, jadual kerja yang padat, serta pelbagai fitnah yang dilemparkan terhadap dirinya.

Menurutnya, antara tuduhan yang diterima ialah keraguan terhadap kelayakan akademiknya, termasuk desakan pihak tertentu agar dia mengemukakan bukti dan sijil sebagai pengesahan.

“Saya masih mampu bertenang dan senyum kerana tidak semua perkara saya perlu jelaskan.

“Kepada mereka yang memfitnah dan mencaci, saya ucapkan terima kasih dan semoga Allah memberikan hidayah kepada kalian,” katanya.

Anil
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Anil Sandhu
memuat naik gambar menerima Ijazah
Professional Master in Political Science
ketika menghadiri Majlis Graduasi Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM SPACE) 2025.

Dalam pada itu Anil turut merakamkan penghargaan kepada para profesor yang membimbingnya sepanjang pengajian, sambil mendoakan agar segala jasa mereka dibalas dengan kebaikan.

Pada masa sama Anil juga menyeru masyarakat Kunak agar membuat penilaian matang terhadap para calon yang bertanding sepanjang kempen.

Jelasnya, sepanjang tempoh berkempen, dia tidak pernah menyerang peribadi mana-mana pihak atau memburukkan lawan, sebaliknya berpegang kepada penyampaian fakta.

“Saya tidak memburukkan individu lain dan tidak memfitnah mana-mana calon. Saya lebih rela difitnah demi kemajuan daerah Kunak,” katanya.

Sementara itu Anil turut memaklumkan akan mengadakan sesi siaran langsung malam ini bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul berkaitan dirinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button