Dua kanak-kanak maut dirempuh kereta ketika menunggang basikal
YAN – Keseronokan dua kanak-kanak menunggang basikal bertukar tragedi apabila mereka maut akibat dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di Kampung Sedaka Tengah, di sini pagi tadi.
Insiden yang berlaku pada pukul 9.15 pagi itu menyebabkan kedua-dua mangsa yang berumur 10 dan 11 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, kedua-dua mereka menaiki basikal dengan salah seorang berdiri di bahagian belakang sebelum dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang melalui jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman awal mengenai kemalangan itu pada pukul 9.25 pagi.
“Dua kanak-kanak maut di lokasi kejadian namun perkembangan kes akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, melalui hantaran Facebook Masjid Sedaka, mereka memaklumkan kematian adik Izhar dan Zaid yang merupakan kariah di masjid tersebut.
“Adik Izhar salah seorang daripada cameraman setiap content Masjid Sedaka. Kedua-duanya merupakan ahli jemaah tetap masjid.
“Doakan untuk adik-adik ini ditempatkan bersama dengan orang yang beriman,” tulisnya sambil memberitahu solat jenazah kedua-dua mangsa akan dilaksanakan selepas Isyak di masjid berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













