BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Butik ke-60 Siti Khadijah tampil konsep flagship eksklusif di Bangsar

KUALA LUMPUR – Selepas 16 tahun bertapak dalam industri pakaian ibadah, jenama Siti Khadijah (SK) mengukuhkan status sebagai pelopor segmen berkenaan apabila membuka butik ke-60 di Bangsar, sekali gus menandakan fasa baharu perkembangan syarikat melalui pembentukan ruang flagship eksklusif di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd., Mohammad Munzir Aminuddin berkata, butik berkenaan mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana lokasinya yang strategik serta konsep flagship yang menawarkan pengalaman membeli-belah lebih menyeluruh.

Menurutnya, pembukaan butik itu dibuat selepas SK sekian lama menyasarkan kawasan Bangsar yang dianggap lokasi premium, sesuai dengan hala tuju jenama yang semakin berkembang.

“Di Bangsar ini kita cari kelainan. Ini butik yang ke-60 dan ia nombor istimewa bagi kami selepas 16 tahun. Selama ini kita banyak buka di pusat beli-belah, tetapi kali ini kita perlukan butik bersaiz besar kerana perancangannya bukan sekadar menjual barang, tetapi menjadi pusat komuniti.

“Kita mahu pelanggan datang bukan hanya membeli, tetapi turut menghadiri sesi perkongsian kerohanian, memahami jenama dengan lebih mendalam dan mengalami pengalaman ‘experiential shopping’,” katanya pada majlis pelancaran butik berkenaan di ibu negara semalam.

Siti Khadijah
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn. Bhd., Mohammad Munzir Aminuddin.

Butik itu turut membawa elemen yang diadaptasi daripada pusat pelawat SK di Nilai, termasuk ruang galeri yang memberi peluang kepada pengunjung memahami proses pembuatan telekung serta mencuba bahan secara lebih terperinci.

Mengulas mengenai pelaburan, Munzir berkata butik tersebut melibatkan kos renovasi kira-kira RM800,000, tidak termasuk stok, selain melalui proses rundingan yang panjang serta cabaran tertentu yang lain.

Dalam perkembangan lain, SK bakal membuka dua lagi butik pada Disember ini masing-masing di Sunway Pyramid dan Kangar Mall, selain sebuah butik istimewa di The Exchange 118 (One One Eight) tahun depan.

Beliau berkata, pertumbuhan jenama di pusat beli-belah utama seperti KLCC, IOI Mall, One Utama, Setia City Mall dan lain-lain menjadi pemangkin keyakinan untuk memasuki lokasi premium, selari dengan strategi jangka panjang syarikat.

“Model perniagaan perlu betul. Harga mesti tepat supaya kita ada kapasiti berkembang secara organik. Kita bukan mahu berkembang secara mendadak, tetapi melalui maraton jangka panjang,” katanya.

Siti Khadijah
Butik flagship Siti Khadijah di Bangsar menawarkan pengalaman komuniti dan galeri jenama untuk pelanggan.

Beliau berkata, SK kini menyeimbangkan strategi antara butik pusat beli-belah dan premis lot kedai yang dilihat saling melengkapi.

Menurut Munzir lagi, semasa pandemik COVID-19, lot kedai membantu mengekalkan operasi ketika pusat beli-belah ditutup, manakala butik besar pula menyediakan kelebihan trafik pelanggan yang stabil.

Menurutnya lagi, indikator utama kejayaan butik baharu adalah kadar pulangan pelaburan (ROI) dalam tempoh sekitar satu hingga dua tahun, bergantung kepada tempoh pajakan.

Dari sudut pengembangan, SK tidak merancang membuka banyak cawangan baharu tahun depan, sebaliknya menumpukan pembesaran butik sedia ada sejajar peningkatan permintaan, termasuk bagi koleksi lelaki yang semakin mendapat sambutan.

Mengulas cabaran menghadapi pasaran tepu, beliau menjelaskan, SK sentiasa menilai semula penawaran produk dan melakukan pelarasan strategik, termasuk semasa pandemik apabila jualan dalam talian membolehkan syarikat mengekalkan pendapatan walaupun butik ditutup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button