Saifuddin Nasution jelaskan keputusan calon PH di DUN Silam tarik diri
KOTA KINABALU – Keputusan calon PKR, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bertujuan meminimumkan pertembungan dan meningkatkan peluang menang kepada rakan sekutu.
Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini hanya kerusi itu yang membabitkan calon parti berkenaan yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menarik diri.
“Sebagai orang yang mengetuai perundingan, saya sebutkan beberapa kali sebelum ini pada rakan-rakan media. Tugas saya adalah memuktamadkan perundingan kerusi, itu tercapai.
“Kemudian meminimakan sebarang potensi pertembungan. Jadi bila ada pertembungan, kita cuba minimumkan.
“Walaupun setelah keputusan dibuat untuk dia menghantar kertas (pencalonan) tetapi akhirnya saya ucap terima kasih kepada calon berkenaan kerana kita telah melakukan perundingan dan beliau bersetuju,” katanya memetik laporan BH Online.
Terdahulu beliau mengadakan sidang akhbar bersama calon PH bagi DUN Api-Api, Thonny Chee di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Halim hari ini menarik diri daripada bertanding bagi kerusi DUN Silam dalam Parlimen Lahad Datu pada PRN Sabah ke-17.
Abdul Halim dipetik berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pimpinan tertinggi PH.
Kerusi DUN Silam sebelum ini disandang oleh Dumi Pg Masdal daripada Parti Warisan.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, DUN Silam menyaksikan saingan sembilan penjuru untuk meraih sokongan daripada 28,261 pengundi. Namun, dengan penarikan diri Abdul Halim, saingan DUN Silam kini lapan penjuru.
Bagaimanapun, dipercayai nama Abdul Halim akan tetap tertera pada kertas undi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















