Universal Music tarik balik video muzik Dolla selepas timbul kontroversi
KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia menurunkan video muzik terbaru kumpulan Dolla berjudul ‘Question’ daripada semua platform digital susulan kritikan berhubung kandungannya yang dianggap tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti masyarakat tempatan.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan itu dibuat selepas semakan semula terhadap keseluruhan kandungan video dan maklum balas yang diterima.
Menurut beliau, langkah itu diambil bagi menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat di negara ini.
“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati norma budaya dan sensitiviti agama.
“Kami mengambil serius semua maklum balas serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim menegaskan kreativiti dan ekspresi seni perlu selari dengan kepekaan terhadap norma setempat.
Beliau menambah, setiap perancangan kreatif selepas ini akan melalui proses semakan lebih ketat termasuk perbincangan dalaman dan rundingan profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.
Kontroversi video muzik kumpulan itu sebelum ini mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, yang dilapor sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap artis beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Selain itu, pendakwah selebriti, Asma Harun turut mengkritik penampilan Dolla dalam video yang disifatkan tidak bermoral dan memalukan wanita beragama Islam.
Lim turut mengucapkan terima kasih kepada peminat dan masyarakat atas maklum balas terbuka mereka dan berharap isu ini dapat ditangani dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik Malaysia.
“Universal Music berharap perkara ini menjadi pengajaran dan memastikan keharmonian serta rasa hormat semua pihak terus dijaga,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








