Jurugambar MalaysiaNow patah 5 dalam kemalangan jalan raya
PUTRAJAYA – Jurugambar portal berita MalaysiaNow, Djohan Shahrin, dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan menjalankan tugas pada pukul 9.40 pagi kelmarin.
Dalam kejadian di laluan Pinggiran Putra menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, motosikal yang ditunggang Djohan merempuh sebuah kereta yang tiba-tiba memperlahankan pergerakan.
Ketika kejadian, Djohan difahamkan dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat liputan satu perhimpunan di pekarangan bangunan tersebut.
Akibat kemalangan itu, bekas jurugambar Utusan Malaysia itu mengalami patah pada lima bahagian tubuh iaitu dua tulang rusuk kiri, dua tulang belikat serta satu bahagian di pergelangan kaki.
Keadaannya kini dilaporkan stabil namun memerlukan tempoh rawatan dan pemulihan yang panjang.

Isterinya, Musdana Sari Musthafa Kamal ketika ditemui berkata, dia mulanya menyangkakan panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali sebagai ‘scammer’ namun terkejut apabila dimaklumkan suaminya terlibat dalam kemalangan.
“Saya benar-benar tidak menyangka. Rupa-rupanya mereka ingin beritahu bahawa suami terlibat dalam kemalangan.
“Keadaan Djohn (panggilan) mula stabil kerana tiada kecederaan dalaman cuma dia tidak dapat bergerak banyak kerana tulang belikat dan rusuk patah,” katanya sebak.
Musdana berkata, dia berterima kasih kepada orang awam yang menghulurkan bantuan semasa kemalangan termasuk yang menghantar motosikal dan memulangkan semula peralatan kamera milik suaminya.
Katanya, akibat kejadian itu dia kini terpaksa mengambil cuti untuk menjaga suami dan tiga lagi anak yang berusia 16, 13 dan 11 tahun.
“Buat masa ini saya masih tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga suami yang terlantar. Tempoh ini juga saya rasa agak lama,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Malaysia Tribune yang diwakili Pengarang Berita, Abdul Halim Hadi menemui Djohan semalam bagi menyerahkan sumbangan untuk meringankan beban keluarga itu.
Rakan media dan orang ramai boleh menderma kepada Djohan Shahrin ke akaun Maybank miliknya 162245660968.
Sementara itu, Djohan turut memaklumkan menerima bantuan kewangan daripada Tabung Kasih@HAWANA yang disalur melalui Kementerian Komunikasi untuk warga media yang ditimpa kesusahan.
Sepanjang 20 tahun bertugas sebagai jurugambar media, Djohan banyak mengetengahkan kisah-kisah kejayaan, penderitaan dan perjuangan individu terutama yang berkait perjuangan kos sara hidup.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








