EAC perkasa keunggulan kejuruteraan Malaysia ke tahap global
PUTRAJAYA – Usaha memperkukuh keunggulan kejuruteraan Malaysia ke tahap antarabangsa terus diperkasa apabila Engineering Accreditation Council (EAC) di bawah Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menganjurkan Sesi Libat Urus Bersama Panel Penilai 2025 di sini, semalam.
Pengerusi EAC, Datuk Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, kekuatan sistem akreditasi EAC terletak pada dedikasi bersama para penilai dan institusi dalam menegakkan kecemerlangan serta integriti pendidikan kejuruteraan.
“EAC kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan kejuruteraan negara melalui jaminan kualiti mantap dan piawaian antarabangsa yang diiktiraf,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Majlis yang menghimpunkan lebih 200 ahli panel penilai aktif dari sektor akademia, industri dan badan profesional seluruh negara itu menjadi platform penting memperkukuh ekosistem pendidikan serta amalan kejuruteraan di negara ini.
Sehingga Oktober 2025, LJM di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan lebih 260,000 ahli berdaftar, sekali gus menjadi bukti kepada kekuatan serta pengaruh besar komuniti kejuruteraan negara.
Menurut EAC, sesi tahunan berkenaan berperanan sebagai wadah strategik memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara EAC dan panel penilai bagi memastikan proses akreditasi program kejuruteraan negara terus menepati piawaian antarabangsa.
“Tumpuan utama sesi kali ini ialah penambahbaikan standard akreditasi dengan penekanan terhadap pengintegrasian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Turut diberi penekanan peningkatan berterusan atribut graduan dalam kurikulum kejuruteraan mencerminkan iltizam EAC memperkasa Continuous Quality Improvement (CQI) selaras dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Antara pengisian utama acara ialah pelancaran Buku Outcome-Based Education (OBE), penerbitan komprehensif yang mendokumentasikan sedekad pelaksanaan OBE di Malaysia serta impaknya terhadap kompetensi graduan, hasil program dan reka bentuk kurikulum.
Buku itu turut menonjolkan kejayaan Malaysia dalam mentransformasikan pendidikan kejuruteraan kepada pendekatan holistik berasaskan bukti yang menekankan hasil pembelajaran dan kesiapsiagaan profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







