ART Malaysia-AS lindungi kedaulatan, akses pasaran eksport negara – Zafrul
KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) selepas hampir enam bulan menjalankan rundingan intensif.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah penting dalam usaha mempertahankan kepentingan ekonomi serta kedaulatan negara dalam landskap geopolitik semasa.
Beliau menjelaskan, perjanjian tersebut bukan pilihan mudah, sebaliknya keputusan strategik bagi memastikan Malaysia terus menikmati akses ke pasaran eksport terbesar negara itu.
“Ini bukan pilihan kita, tapi realiti geopolitik yang kita hadapi untuk pertahan akses ke pasaran eksport terbesar kita.
“Kepada yang kritik, tolonglah berhujah dengan fakta, bukan fitnah! Kami, Kerajaan MADANI, bertindak pantas dan berprinsip untuk melindungi mata pencarian jutaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau menjelaskan, hasil rundingan berkenaan membolehkan Malaysia menurunkan kadar tarif AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, selain mendapat pengecualian bagi 1,711 barisan tarif produk utama yang dianggarkan bernilai RM22 bilion.
Antara produk terlibat termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen pesawat dan farmaseutikal.
Tengku Zafrul menegaskan, sepanjang rundingan berlangsung, tiada sebarang kompromi terhadap kepentingan nasional, termasuk hak Bumiputera dan standard halal Malaysia.
“Isu garis merah negara seperti hak Bumiputera dan standard Halal kita pertahankan, tiada satu klausa pun yang melanggarnya,” tegasnya.
Mengulas mengenai laporan pembelian bernilai RM1 trilion daripada AS, Tengku Zafrul menjelaskan, senarai perolehan di bawah perjanjian itu bukan perkara baharu dan tidak melibatkan dana kerajaan.
Menurutnya, pembelian tersebut merupakan cadangan perolehan sedia ada oleh syarikat tempatan dan multinasional (MNC) yang beroperasi di Malaysia, antaranya Malaysia Aviation Group dan PETRONAS.
“Sebagai contoh, pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan pada bulan Mac 2025, jauh lebih awal daripada pengumuman tarif oleh Trump.
“Samalah juga dengan perolehan LNG oleh PETRONAS, yang sejak dahulu lagi membeli dari pelbagai negara termasuk AS. Ini sebahagian strategi komersial bagi memastikan kestabilan bekalan,” katanya.
Tegas Zafrul lagi, ART menjadi “pagar” untuk melindungi Malaysia daripada sebarang tindakan unilateral pada masa depan, sekali gus memastikan sebarang keputusan perdagangan mesti melalui proses rundingan yang adil.
“ART ini adalah pagar yang kita bina, memastikan tindakan selepas ini mesti melalui rundingan, bukan ugutan unilateral. Kedaulatan negara tetap terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








