AMRENCANA

ASEAN: Mengemudi rantau dalam ketidaktentuan global

DALAM rencah geopolitik dan ekonomi antarabangsa yang semakin kompleks, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 muncul sebagai wadah strategik bagi Malaysia memperlihatkan keupayaan diplomatik dan kepimpinan serantau yang matang.

Sidang ini berlangsung dalam suasana dunia yang dicirikan oleh ketidaktentuan global, persaingan kuasa besar serta tekanan terhadap kestabilan ekonomi dan perubahan iklim yang semakin kritikal.

asean

Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memikul tanggungjawab penting untuk memperkukuh solidariti serantau serta memastikan ASEAN kekal sebagai blok yang berprinsip, bebas daripada pengaruh luar, dan relevan dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

Salah satu daripada detik bersejarah yang bakal disaksikan dalam sidang kali ini ialah penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan peluasan komuniti Asia Tenggara kepada keseluruhan negara berdaulat di rantau ini.

Langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh kesepaduan serantau malah memperluas potensi kerjasama dalam bidang ekonomi, sosial dan keselamatan.

Menurut Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, sidang ini bukan sekadar perhimpunan diplomatik tahunan, sebaliknya berperanan sebagai medan penetapan arah baharu bagi ASEAN agar kekal tangkas, berdaya tahan dan berpaksikan nilai-nilai bersama.

Beliau menegaskan bahawa visi jangka panjang, “ASEAN Vision 2045: Our Shared Future”, menjadi dokumen strategik utama dalam memperkukuh tiga tonggak integrasi ASEAN iaitu politik dan keselamatan, ekonomi, serta sosio-budaya.

Visi tersebut bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi suatu manifestasi komitmen kolektif untuk membina komuniti serantau yang inklusif, mampan dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan.

Dalam kerangka ini, Malaysia turut memberi tumpuan terhadap bidang-bidang strategik seperti transformasi digital, tenaga hijau dan keselamatan siber, yang kini menjadi penentu utama daya saing serantau.

Inisiatif seperti ASEAN Power Grid serta pelan tindakan mengenai kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan digital dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi serta kestabilan tenaga di rantau ini.

Melalui kepimpinan aktif dalam agenda-agenda tersebut, Malaysia berpotensi memperkukuh kedudukannya sebagai ‘aktor’ diplomatik yang berpengaruh, berprinsip dan pragmatik dalam percaturan global.

Dari sudut geopolitik, kepimpinan Malaysia dalam ASEAN memberi peluang untuk mempamerkan keupayaan diplomasi seimbang dalam mengurus hubungan serantau yang kompleks, khususnya ketika kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China berlumba-lumba memperluas pengaruh di Asia Tenggara.

Pendekatan berasaskan dialog, kepercayaan dan kerjasama yang diterajui Malaysia memperlihatkan kematangan diplomatik yang diperlukan bagi mengekalkan kestabilan rantau.

Dari perspektif ekonomi domestik, penganjuran sidang ini turut membawa impak positif terhadap Malaysia, khususnya dalam bentuk peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), peluasan pasaran intra-ASEAN yang kini mencecah nilai lebih RM4 trilion, serta pengukuhan hubungan perdagangan serantau.

Dengan tema “Advancing Together for a Resilient and Inclusive ASEAN”, Malaysia menekankan bahawa perpaduan, kestabilan dan kemakmuran bersama merupakan teras utama masa depan ASEAN.

Prinsip rantau yang aman, bebas dan berkecuali kekal menjadi asas kepada hubungan antara negara anggota meskipun terdapat perbezaan pandangan atau kepentingan nasional.

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sahaja memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju kestabilan serantau, tetapi juga menegaskan bahawa diplomasi berasaskan kebijaksanaan dan kepercayaan masih merupakan instrumen penting dalam membina komuniti ASEAN yang progresif, bersatu dan berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button