BERITA SEMASADALAM NEGERIMALAYSIA MADANI

Kuala Lumpur siap sedia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – KDN

KUALA LUMPUR – Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal menghimpunkan 23 ketua kerajaan dari seluruh rantau minggu ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menerima taklimat penuh daripada Ketua Polis Negara mengenai tahap kesiapsiagaan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin persiapan kini berada pada tahap terbaik.

“Sebanyak 10,400 anggota polis ditugaskan khas untuk memastikan keselamatan sepanjang sidang kemuncak berlangsung.

“Latihan dan dry run telah dijalankan sejak 16 Oktober bagi memastikan kelancaran setiap laluan protokol, termasuk ketibaan tetamu melalui KLIA dan Subang,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa penutupan sementara jalan akan dilakukan secara berperingkat dan bukan lockdown penuh, sambil menggesa orang ramai memberi kerjasama, terutamanya di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hotel-hotel penginapan rasmi para delegasi.

KDN ASEAN
Seramai 10.400 anggota polis telah ditugaskan khas untuk memastikan keselamatan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.

“Keselamatan ketua kerajaan dan delegasi antarabangsa adalah keutamaan utama, dengan setiap lokasi dikenal pasti dan dikawal rapi mengikut piawaian keselamatan antarabangsa.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa perbezaan pandangan atau aktiviti masyarakat sivil tetap diiktiraf sebagai hak dalam sistem demokrasi,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan kerjasama dengan pasukan keselamatan bagi memastikan imej Malaysia sebagai tuan rumah kekal terpelihara di mata dunia.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Polis Negara, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Selangor dalam menyelaras operasi besar ini,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN bukan sekadar acara diplomatik, tetapi juga lambang keupayaan dan keyakinan dunia terhadap Malaysia sebagai negara selamat, stabil dan teratur di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button