Sidang Kemuncak ASEAN: Kawalan diperketat di kawasan keselamatan, laluan protokol – Saifuddin
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkat kawalan keselamatan di lokasi utama penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta lebih 20 hotel di ibu negara yang menjadi tempat penginapan 23 ketua kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu meliputi kawalan ketat di kawasan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) serta sepanjang laluan protokol dari Pangkalan Udara Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Polis sudah menyediakan 10,400 anggota khusus untuk ASEAN dan kita akan menerima sehingga 23 ketua kerajaan. Untuk tempoh sidang itu, persiapan sudah bermula pada 16 Oktober lalu.
“Ada tetamu sampai dari (Pangkalan Udara) Subang, ada tetamu turun di KLIA. Jadi kesemua laluan protokol ini sudah dikenal pasti dan kita juga sudah mengumumkan penutupan jalan secara berperingkat. Kita tak guna istilah ‘lockdown’, konotasi dia tak berapa tepat.
“Fokus keselamatan adalah kepada ketua kerajaan yang kita anggap berprofil dan berisiko tinggi, bergantung kepada latar belakang sesebuah negara dan isu geopolitik,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, PDRM memberi tumpuan terhadap sebarang kemungkinan ancaman ekstremisme dan pengganas, yang mungkin cuba mengambil kesempatan semasa sidang kemuncak berkenaan.
Beliau berkata, ancaman keselamatan siber dan potensi tunjuk perasaan tidak terkawal serta pengurusan trafik di sekitar lokasi utama persidangan, juga dikenal pasti sebagai antara cabaran utama semasa persidangan itu berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













