BERITA SEMASADALAM NEGERI

AirAsia tawar tambang tetap RM299 untuk rakyat pulang mengundi di Sabah

PETALING JAYA – Bagi memudahkan rakyat pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini, AirAsia menawarkan promosi tambang tetap RM299 sehala bagi semua laluan domestik utama dari Semenanjung ke negeri itu.

Inisiatif khas yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penerbangan antara 26 hingga 28 November, merangkumi lapan laluan dan 24 penerbangan dengan lebih 4,300 tempat duduk disediakan.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang rendah itu, tawaran berkenaan melibatkan laluan Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Labuan, selain Johor Bahru ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Kota Bharu dan Pulau Pinang ke Kota Kinabalu.

“Tambang tetap ini termasuk semua caj dan menunjukkan komitmen berterusan AirAsia untuk menyokong rakyat Malaysia, khususnya di Sabah iaitu salah satu pasaran domestik terpenting bagi kami,” menurut kenyataan itu.

AirAsia menegaskan, sejak sekian lama syarikat itu memainkan peranan utama dalam memperkukuh hubungan udara ke Sabah dengan menawarkan tambang berpatutan, termasuk melalui inisiatif seperti tambang tetap musim perayaan dan program FLYsiswa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Fareh Mazputra berkata, tawaran berkenaan adalah cara syarikat membantu rakyat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Pilihan raya bukan sekadar acara politik, tetapi hari perpaduan bagi membentuk masa depan bersama.

“Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam rangkaian kami, dan inisiatif ini adalah tanda penghargaan kepada rakyat negeri itu,” katanya.

Penerbangan promosi ini boleh ditempah mulai hari ini hingga 26 Oktober melalui laman web rasmi airasia.com atau aplikasi AirAsia Move.

AirAsia turut memaklumkan bahawa tambang tetap berkenaan adalah untuk perjalanan sehala termasuk semua caj perkhidmatan penumpang, caj pengawalseliaan, surcaj bahan api dan yuran lain yang berkaitan, tertakluk kepada terma dan syarat ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button