BERITA SEMASA

Kerajaan negeri Sabah berkuasa halang kemasukan individu tertentu – Hajiji

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah mempunyai kuasa mutlak untuk menghalang kemasukan individu tertentu ke negeri berkenaan berpandukan maklumat daripada pihak keselamatan dan agensi berkaitan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ketika diminta mengulas kejadian seorang ahli perniagaan yang mendakwa dihalang memasuki negeri itu, semalam.

“Untuk makluman, kerajaan Sabah ada kuasa yang mutlak untuk memastikan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.

“Ini juga perlu maklumat dari pihak keselamatan dan pihak yang tertentu baru kita ambil tindakan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Kedai Jujur di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, dekat sini hari ini.

Semalam, ahli perniagaan, Datuk Albert Tei mendakwa dihalang memasuki Sabah selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Albert atau nama penuhnya, Datuk Albert Tei Jiann Cheing, datang ke Sabah untuk hadir di mahkamah bagi sebutan semula kes rasuah berkaitan isu permohonan lesen cari gali mineral yang dijadual di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Selain Albert, dua lagi tertuduh dalam kes itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Peguam Albert, Mahajoth Singh dalam satu kenyataan semalam meminta penjelasan daripada Ketua Menteri mengenai sekatan yang dikenakan ke atas anak guamnya itu.

Beliau mendakwa, sebaik tiba anak guamnya dihalang dan diberitahu oleh seorang Pegawai Jabatan Imigresen dikenali Ms Mimie bahawa Albert tidak boleh memasuki Sabah kerana ada sekatan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Katanya, beliau kecewa apabila anak guamnya terpaksa membuktikan bahawa dia ada kes mahkamah yang sedang berjalan dengan menghubungi pegawai penyiasat dan menghantar e-mel dokumen yang berkaitan kepada Pegawai Imigresen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button