Kuasa nuklear pacu keterjaminan tenaga ASEAN – Fadillah
KUALA LUMPUR – Penggunaan kuasa nuklear mampu memberi sumbangan besar dalam memperkukuh keterjaminan tenaga dan menyokong peralihan negara kepada sumber tenaga rendah karbon di rantau ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kerajaan sedang menilai potensi tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada strategi tenaga jangka panjang, khususnya melalui penerokaan teknologi reaktor modular kecil (SMR) yang semakin mendapat perhatian di peringkat global.
“Selaras dengan amalan terbaik antarabangsa dan pendekatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Malaysia mengambil langkah berhati-hati serta telus dengan membina asas institusi, teknikal dan sumber manusia yang kukuh sebelum membuat keputusan muktamad berhubung pembangunan tenaga nuklear,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Kerjasama Tenaga Nuklear Lestari ASEAN-Korea, sempena Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Menurut Fadillah, kemajuan pesat Korea Selatan dalam bidang teknologi dan keselamatan nuklear yang digabung dengan permintaan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini telah membuka ruang kerjasama luas dalam aspek pembelajaran, perkongsian teknologi dan pembinaan kapasiti.
“Kerjasama strategik dengan rakan Korea Selatan dan negara ASEAN lain amat penting bagi memastikan pembangunan tenaga nuklear dilaksanakan dengan selamat, bertanggungjawab dan mampan,” ujarnya.
Sementara itu, Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yeo Seungbae berkata, rantau ASEAN kini muncul sebagai hab kecerdasan buatan (AI) dan pusat digital baharu dunia, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap tenaga elektrik.
Katanya, Pusat Tenaga ASEAN (ACE) mengunjurkan rantau ini akan memasang sekitar 5.2 gigawatt kapasiti penjanaan tenaga nuklear menjelang tahun 2050.
“Seiring perkembangan itu, kebanyakan negara ASEAN telah mula melaksanakan langkah konkrit ke arah pembangunan tenaga nuklear, termasuk Malaysia yang kini menjalankan kajian kebolehlaksanaan menyeluruh bagi menilai potensi sumber ini sebagai tenaga bersih dan stabil,” katanya.
Beliau menambah, seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan Malaysia telah memulakan persediaan awal untuk memasukkan tenaga nuklear dalam campuran tenaga negara menjelang tahun 2031.
“Korea Selatan kini mengendalikan 26 reaktor nuklear yang membekalkan kira-kira 30 peratus tenaga elektrik negara itu secara selamat, dan pengalaman tersebut membuktikan bahawa keselamatan serta keberkesanan kos merupakan faktor utama kejayaan industri tenaga nuklear,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








