BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MINDEF terus pastikan warga ATM nikmati persaraan selesa

BUTTERWORTH – Kementerian Pertahanan komited memastikan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat menikmati kehidupan persaraan yang selesa dan bermaruah, sekali gus mengubah naratif kehidupan selepas bersara daripada kesempitan kepada kesejahteraan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, usaha itu disokong melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memastikan kebajikan pencarum terus menjadi keutamaan.

“Naratif kehidupan selepas persaraan perlu berubah daripada kesempitan kepada kesejahteraan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Jelajah Wira LTAT 2025 Edisi Utara yang diadakan di Pangkalan Udara Butterworth, di sini, hari ini.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar menjadi medium penyampaian maklumat, tetapi juga berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan LTAT dengan warga ATM bagi memperkukuh sinergi serta memastikan kebajikan pencarum terus terpelihara.

Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim TUDM; Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin (Bersara); serta Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi bersama barisan pengurusan kumpulan berkenaan.

Dalam majlis itu, turut dilancarkan Program Pemerkasaan Usahawan Wira LTAT 2.0 yang memberi peluang kepada veteran ATM meningkatkan pendapatan melalui bidang keusahawanan.

Selain itu, Projek Kem Angkat Santuni MADANI hasil kerjasama LTAT dengan BHPetrol turut dilaksanakan dengan menaik taraf Surau Al-Falah dan kelas KAFA Taman Bagan Lalang menggunakan peruntukan sebanyak RM100,000.

Adly turut merakamkan penghargaan kepada LTAT atas komitmen berterusan memperkasa kebajikan wira negara seiring dengan semangat Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button