BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

KSU MINDEF rasai sendiri keupayaan Su-30MKM, elemen cegah rintang negara

KUALA LUMPUR – Pesawat pejuang Su-30MKM masih memainkan peranan penting dalam keupayaan pertahanan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), khususnya dalam melindungi ruang udara dan kepentingan maritim negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, keupayaan pesawat itu turut menjadi sebahagian daripada elemen cegah rintang bagi memastikan Malaysia mempunyai keupayaan yang diyakini untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti penerbangan pesawat pejuang Su-30MKM, yang juga menjadi pengalaman pertamanya menaiki pesawat berkenaan, kelmarin.

Menurutnya, pengalaman itu memberi perspektif lebih jelas mengenai keupayaan sebenar platform berkenaan, selain tahap kompetensi dan profesionalisme warga TUDM yang mengoperasikannya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM, serta seluruh warga TUDM atas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk merasai sendiri pengalaman menaiki Su-30MKM.

“Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna kerana ia memberi peluang untuk saya melihat dengan lebih dekat bukan sahaja keupayaan pesawat ini, tetapi juga tahap kompetensi, disiplin dan profesionalisme warga TUDM yang mengoperasikannya,” katanya dalam kenyataan.

Lokman Hakim berkata, Su-30MKM bukan sekadar sebuah pesawat berkeupayaan tinggi, sebaliknya satu sistem tempur yang keberkesanannya bergantung kepada gabungan teknologi, manusia dan keseluruhan sokongan operasi.

Katanya, pembangunan kuasa udara secara menyeluruh perlu diberi perhatian dengan memastikan keupayaan tempur, kesiagaan, sustainment dan perancangan penggantian aset bergerak secara seimbang mengikut keperluan strategik negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahap kesiagaan aset seperti Su-30MKM merupakan satu keperluan strategik, namun ia bukan sekadar memastikan pesawat berada dalam keadaan baik.

Katanya, kesiagaan turut bergantung kepada keupayaan juruterbang memahami dan memanfaatkan sepenuhnya kemampuan pesawat berkenaan, justeru latihan berterusan amat penting.

“Bagi saya, kesiagaan aset seperti Su-30MKM adalah satu keperluan strategik. Tetapi kesiagaan bukan sekadar memastikan pesawat berada dalam keadaan baik. Ia juga bergantung kepada keupayaan juruterbang untuk memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang boleh dilakukan oleh pesawat tersebut.

“Sebab itu latihan berterusan sangat penting, semakin baik pemahaman dan kemahiran juruterbang, semakin tinggi nilai keupayaan yang boleh kita keluarkan daripada sesuatu platform,” katanya.

su-30mkm
Lokman Hakim Ali menyifatkan Su-30MKM masih memainkan peranan penting dalam keupayaan pertahanan udara TUDM, khususnya melindungi ruang udara dan kepentingan maritim negara.

Beliau berkata, TUDM mempunyai pengalaman melaksanakan latihan bersama pesawat generasi kelima, termasuk menerusi Eksesais Elangaroo 24 yang menyaksikan F-35A RAAF menjalani latihan air combat bersama F/A-18D dan Su-30MKM TUDM.

Menurutnya, latihan sedemikian memberi peluang kepada juruterbang memahami kekuatan dan keupayaan platform berbeza, selain meningkatkan interoperability.

“Dalam keadaan sebenar, bukan teknologi semata-mata yang menentukan keberkesanan; kemahiran, pengalaman dan tactical judgement juruterbang juga memainkan peranan yang sangat besar,” katanya.

Pada masa sama, Lokman Hakim berkata, kekuatan Su-30MKM turut bergantung kepada kepakaran anak tempatan yang memastikan pesawat berkenaan sentiasa berada dalam keadaan siap untuk melaksanakan tugasan.

Katanya, TUDM mempunyai jurutera dan juruteknik berkemahiran dalam bidang mekanikal, elektrikal, struktur dan sistem yang menjadi sebahagian daripada ekosistem sokongan aset berkenaan.

“Kita mempunyai jurutera dan juruteknik dengan kepakaran dalam bidang mekanikal, elektrikal, struktur dan sistem, yang bersama-sama memastikan pesawat berada dalam keadaan siap untuk melaksanakan tugasan.

“Kepakaran ini, disokong oleh keupayaan MRO, alat ganti, persenjataan dan sokongan teknikal, merupakan sebahagian penting daripada kesiagaan aset kita.

“Jadi, bagi saya, kekuatan sebenar Su-30MKM bukan hanya pada pesawat itu sendiri. Kekuatan itu terletak pada gabungan platform, juruterbang, jurutera, juruteknik dan keseluruhan ekosistem sokongan yang kita bina,” katanya.

Beliau berkata keupayaan berkenaan perlu terus diperkukuh supaya setiap aset yang dimiliki benar-benar memberikan nilai pertahanan maksimum kepada negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button