Lebih sejuta bahan bacaan digital percuma melalui u-Pustaka PNM – Aaron
KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini kini berpeluang mengakses lebih sejuta bahan bacaan digital secara percuma melalui platform sehenti u-Pustaka di bawah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memperluas ketercapaian bahan bacaan kepada rakyat tanpa mengira tempat dan waktu, seiring matlamat kerajaan membudayakan amalan membaca.
Menurut beliau, melalui platform berkenaan, masyarakat boleh mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Hingga kini, u-Pustaka telah merekodkan 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital, selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan umum.
“Antara pangkalan data disediakan ialah Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru, menjadikan u-Pustaka sebagai gedung ilmu maya yang komprehensif, inklusif serta mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan.
Aaron berkata, inisiatif itu bukan sahaja memperluas capaian bahan bacaan, malah memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu, nilai dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
Beliau menambah, usaha kerajaan menyemai budaya membaca terus menunjukkan hasil positif apabila Kajian Profil Membaca mencatat peningkatan ketara kadar bacaan sejak beberapa tahun lalu.
“Pada tahun 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Namun, 10 tahun kemudian jumlah itu meningkat kepada 15 buku dan pada 2023, meningkat lagi kepada 24 buku setahun.
“Daripada jumlah itu, purata 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal, manakala lapan buku lagi dibaca secara dalam talian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, kajian terkini menunjukkan 88.6 peratus rakyat Malaysia kini pembaca aktif, satu pencapaian membanggakan yang membuktikan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ilmu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















