JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan tiga pelajar disyaki buli rakan hingga patah buku lali

KANGAR – Polis menahan tiga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah, di sini bagi membantu siasatan berhubung kejadian buli terhadap seorang rakan sekolah yang mengakibatkan mangsa mengalami patah buku lali kiri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 11.27 malam, Khamis lalu.

Beliau berkata, ibu mangsa yang berusia 39 tahun sebelum itu dimaklumkan oleh guru kelas pada pukul 12.28 tengah hari bahawa anaknya, yang juga pelajar Tingkatan Satu, terjatuh ketika memasuki kelas dan tidak dapat berjalan.

Menurutnya, ibu mangsa mengambil anaknya kira-kira pukul 1 tengah hari sebelum membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami patah buku lali kiri.

“Ketika berada di hospital, kira-kira pukul 7.28 malam, mangsa memaklumkan kepada ibunya bahawa dia telah dibuli sejak beberapa bulan lalu, sebelum kejadian pada hari berkenaan yang menyebabkan dia mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, tiga pelajar terbabit dipercayai menendang dan memukul mangsa, selain membaling dua tong sampah besar ke arah badan serta kepalanya dan meludah mangsa. Mereka juga disyaki memeras ugut mangsa dengan meminta wang saku,” katanya.

Beliau menambah, ketiga-tiga pelajar itu direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button