Influenza: Thailand rekod 700,000 kes, 61 kematian sejak awal tahun
BANGKOK – Thailand merekodkan lebih 700,000 kes influenza sejak awal tahun ini dengan 61 kematian dilaporkan.
Pejabat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ODPC) Thailand dalam satu kenyataan berkata, orang ramai di seluruh negara dinasihatkan supaya berwaspada semasa peralihan daripada musim hujan ke musim sejuk kerana penyakit itu mudah merebak akibat perubahan cuaca, lapor BERNAMA.
“Sejumlah 702,238 kes influenza telah direkodkan di seluruh negara setakat ini, dengan 61 kematian, terutamanya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak kecil.
“Pihak berkuasa menasihatkan kumpulan berisiko tinggi mendapatkan suntikan vaksin selesema tahunan,” kata kenyataan itu, hari ini..
Pengarah ODPC 9 di Nakhon Ratchasima, Dr Taweechai Visanuyothin berkata, situasi influenza di Thailand menimbulkan kebimbangan, khususnya pada penghujung musim hujan hingga awal musim sejuk.
Beliau berkata, dari 1 Januari hingga 8 Oktober 2025, sebanyak 702,238 kes dilaporkan di seluruh negara dengan kadar insiden 1,081.83 bagi setiap 100,000 penduduk, manakala 61 kematian direkodkan bersamaan kadar kematian 0.09 bagi setiap 100,000 penduduk.
“Penyakit ini merebak melalui batuk, bersin atau sentuhan dengan titisan mukus atau air liur daripada individu yang dijangkiti.
“Mereka yang dijangkiti mungkin mengalami demam panas, hidung berair, batuk, sakit tekak, sakit kepala, keletihan dan sakit otot,” jelasnya.
Beliau berkata influenza boleh menyerang individu daripada semua peringkat umur dan sering mencetuskan penularan kelompok di tempat seperti sekolah, penjara, kem tentera dan tempat kerja.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak tempat sesak, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















