Thailand giat usaha buru suspek bom stesen minyak
KOTA BHARU – Pihak keselamatan Thailand sedang menggiatkan usaha memburu tiga suspek yang disyaki terlibat dalam insiden letupan bom secara serentak ke atas beberapa stesen minyak di selatan Thailand pada 11 Januari lalu.
Komander Tentera Wilayah ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Naratip Phoyanok berkata, usaha memburu itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia kerana kesemua suspek dipercayai bersembunyi di kawasan sempadan kedua-dua negara, lapor BERNAMA.
Phoyanok menambah, kesemua suspek dikenal pasti hasil pemeriksaan DNA oleh Bahagian Forensik Wilayah Narathiwat.
Bercakap kepada media Malaysia hari ini menerusi penterjemah tempatan, beliau berkata suspek pertama dikenal pasti sebagai Burhanuddin Samae, 44, dari Kampung 3, Mukim Ko Po, Daerah Nong Chik, Pattani, selepas DNA miliknya ditemukan pada kotak litar bom, selain mempunyai dua waran tangkap termasuk kes serangan di Pattani pada 23 Julai 2019.
Suspek kedua dikenal pasti sebagai Hafiz Buesa, 28, dari Daerah Chanae dan pernah dikaitkan dengan serangan ke atas anggota Pasukan Renjer Tentera Kompeni 1114 pada 27 April 2017, yang mengorbankan enam anggota.
Manakala suspek ketiga Chi Masae, 44, dari Daerah Rueso pula mempunyai lapan waran tangkap termasuk kes pengeboman dan kerosakan tiang elektrik di Pattani pada 2018 serta kes rompakan kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Sungai Golok tahun lepas.
Beliau berkata, operasi memburu kesemua suspek dijalankan secara bersepadu melibatkan pasukan polis dan tentera dengan pemantauan diperketat di kawasan sempadan, selain perkongsian maklumat risikan bersama pihak berkuasa Malaysia bagi menghalang cubaan melarikan diri ke seberang sempadan.
Dalam kejadian 11 Januari, sekumpulan suspek dipercayai meletupkan bom secara serentak di beberapa stesen minyak di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, mengakibatkan empat orang cedera, termasuk sebuah stesen di Sungai Golok kira-kira tiga kilometer dari sempadan Malaysia di Rantau Panjang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







