BERITA SEMASAGAYA HIDUPMALAYSIA MADANI

Festival Kuih Bulan eratkan ukhuwah antara mualaf, masyarakat Melayu

SEREMBAN – Semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum terus disemarakkan menerusi penganjuran Program Festival Kuih Bulan anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Sembilan dengan kerjasama Tadika Sri Awfa, di sini baru-baru ini.

Program berkonsepkan kebersamaan budaya itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 150 orang peserta terdiri daripada ibu bapa, anak-anak Tadika Sri Awfa, ahli MACMA Negeri Sembilan, saudara baharu serta masyarakat Cina Muslim.

Festival Kuih Bulan
Anak-anak pelajar Tadika Sri Awfa memakai persalinan hanfu iaitu pakaian tradisional masyarakat Cina.

Setiausaha MACMA Negeri Sembilan, Edy Syarman Alee Ng berkata, penganjuran program tersebut menjadi bukti bahawa MACMA terus memainkan peranan sebagai jambatan penyatuan antara mualaf Cina dan masyarakat Islam Melayu sekali gus memperkukuh ukhuwah serta keharmonian bersama.

“Program seperti ini bukan sekadar meraikan budaya tetapi juga membuka ruang untuk saling memahami dan menghargai perbezaan sebagaimana yang dituntut dalam Islam,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, suasana sambutan diserikan dengan kehadiran para peserta berpakaian hanfu iaitu pakaian tradisional masyarakat Cina yang menjadikan majlis tampak lebih istimewa dan sarat dengan nilai budaya.

Festival Kuih Bulan
Aktiviti penulisan kaligrafi Cina yang diajar oleh Kelly dan Yee Yang. 

“Dewan yang dihias indah turut mencerminkan kehangatan seperti satu keluarga besar yang berkumpul meraikan kebersamaan.

“Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk belajar membuat kuih bulan oleh Bendahari MACMA Negeri Sembilan, Tan Ee Lin serta belajar melukis kaligrafi Cina oleh Kelly Kang dan Lee Yee Yang,

“Tidak ketinggalan, turut diadakan aktiviti membuat tanglung, bermain permainan tradisional dan persembahan nyanyian kanak-kanak.

Festival Kuih Bulan
Ee Lin (tengah) dan Edy Syarman menyampaikan cenderahati pada peserta.

“Lebih menyentuh hati, anak-anak bersemangat menyanyikan lagu sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin menggambarkan keprihatinan dan semangat kemanusiaan yang dipupuk sejak kecil,” jelas Edy Syarman.

Menurut beliau lagi, objektif utama program itu adalah untuk mewujudkan ruang interaksi dan saling memahami antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Melalui aktiviti yang dijalankan, kanak-kanak bukan sahaja dapat belajar bahasa Mandarin dan mengenali budaya Cina malah turut didedahkan kepada nilai-nilai Islam yang universal.

Festival Kuih Bulan
Pengunjung Melayu teruja melihat kaligrafi tulisan Cina yang dipamerkan sempena program tersebut.

“Sebagai jambatan antara komuniti Muslim dan bukan Muslim, masyarakat Cina Muslim memainkan peranan penting dalam memperkenalkan nilai-nilai budaya Cina yang selaras dengan ajaran Islam sekali gus memperkukuh semangat perpaduan di Malaysia,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai wadah memperkukuh pendidikan, perpaduan dan pertukaran budaya.

“Pendidikan merupakan asas dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak.

“Melalui aktiviti seperti ini, kami yakin masyarakat akan menjadi lebih harmoni, saling menghormati dan bersatu padu selaras dengan semangat Malaysia MADANI,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button