AGAMABERITA SEMASA

Pendekatan dakwah santai tarik perhatian bukan Islam di Gunung Datuk

REMBAU – Pendekatan dakwah secara santai dan mesra menerusi aktiviti mendaki Gunung Datuk di sini baru-baru ini berjaya menarik penyertaan lebih 130 peserta dalam satu program rentas agama yang berinspirasikan konsep rahmatan lil ‘alamin.

Program yang asalnya dijadual bermula pada jam 7 pagi itu terpaksa ditunda ke jam 8 pagi berikutan hujan yang turun sejak awal subuh, menyebabkan sebahagian daripada 205 peserta yang telah mendaftar pulang awal.

Bagaimanapun, lebih 130 peserta tetap meneruskan pendakian dalam suasana hujan renyai-renyai sebagai simbolik semangat kebersamaan dan toleransi antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Meskipun hujan renyai-renyai, para peserta tetap bersemangat meneruskan pendakian.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Cawangan Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan (JHEINS) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan ERAT@NS.

Setiausaha MACMA Negeri Sembilan, Syafiq Lee berkata, program tersebut merupakan salah satu bentuk dakwah kontemporari atau ‘dakwah bil hal’ yang menekankan penghayatan akhlak Islam dan nilai kemanusiaan dalam suasana santai dan tidak formal.

“Melalui interaksi secara semula jadi dalam aktiviti mendaki, peserta bukan Islam dapat melihat sendiri nilai-nilai murni seperti kerjasama, saling menghormati dan menjaga kebersihan alam yang merupakan sebahagian daripada ajaran Islam,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Syafiq berkata program itu menekankan penghayatan akhlak Islam dan nilai kemanusiaan dalam suasana santai dan tidak formal.

Pendekatan sebegini turut disandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik.”

Ia juga berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut Syafiq lagi, objektif program itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim melalui aktiviti sihat dan santai.

Sebahagian peserta tidak melepaskan peluang bergambar di puncak Gunung Datuk.

“Selain itu, ia juga mendedahkan nilai-nilai Islam secara tidak langsung melalui interaksi mesra dan semula jadi dan mengangkat pendekatan dakwah terbuka serta tidak menghakimi selaras dengan semangat kasih sayang sejagat.

“Lebih penting, ia mampu menanam rasa cinta kepada keindahan alam ciptaan Allah serta kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.

“Malah, melalui program ini, para peserta dapat meningkatkan kefahaman serta persefahaman antara agama dalam masyarakat majmuk khususnya di Negeri Sembilan,” ujar Syafiq.

Tambah Syafiq, penganjuran program seperti itu diyakini mampu menjadi jambatan perpaduan antara kaum dan agama serta memberi kesan jangka panjang dalam membina masyarakat harmoni dan sejahtera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button