AGAMAMALAYSIA MADANIRENCANA

Lawatan Masjid Sri Sendayan, program pertukaran budaya semarakkan semangat perpaduan

SEMPENA sambutan Bulan Kebangsaan 2025, sebuah program lawatan masjid dan pertukaran budaya bertemakan ‘Melangkah Masuk, Berinteraksi, Bersama: Malaysia Kita’ telah diadakan di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Program tersebut berjaya menghimpunkan hampir 50 peserta daripada pelbagai kaum dan agama, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang menjadi teras kepada masyarakat majmuk di negara ini.

Masjid Sri Sendayan terkenal dengan keindahan seni binanya dengan warna putih menarik perhatian ramai pelancong.

Inisiatif murni itu merupakan hasil kerjasama erat antara Persatuan Cina Muslim Malaysia Cawangan Negeri Sembilan (MACMA N9), Pemuda Gabungan Persatuan Keturunan Cina Negeri Sembilan (PGPKCNS),  Persatuan Kasih Sayang Negeri Sembilan dan Kursus Pemikiran PSI Kailer.

Pogram berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan keterbukaan, mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai inklusif, saling hormat dan perpaduan dalam kepelbagaian.

Bendahari MACMA Negeri Sembilan, Eelin Tan berkata, dalam program tersebut seramai enam orang pemandu pelancong ditugaskan untuk membawa para peserta menyelusuri ruang-ruang utama masjid.

Para peserta program ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum termasuk pelancong dari luar negara.

“Sepanjang sesi lawatan, peserta diberi penerangan mendalam mengenai seni bina masjid, tatacara solat serta nilai dan amalan dalam kehidupan masyarakat Islam.

“Program bermula pada sebelah petang disusuli dengan jamuan makan malam halal yang membuka ruang perbualan santai antara peserta, sukarelawan dan ahli jawatankuasa penganjur.

“Antara topik yang dibincangkan seperti pemahaman silang budaya, keharmonian agama dan semangat kenegaraan sekali gus mencerminkan cita rasa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan perpaduan,” ujar Eelin kepada Malaysia Tribune.

Mohamed Alsattari (kanan) merupakan pemandu pelancong yang berasal dari Gaza, Palestin ramah melayan peserta.

Tambah beliau, salah seorang pemandu pelancong masjid itu, Mohamed Alsattari merupakan seorang rakyat Palestin yang berasal dari Gaza dan telah menetap di Malaysia selama 11 tahun.

“Malah, ada peserta dari Amerika Syarikat yang datang ke program ini semata-mata untuk mengetahui tentang Al-Quran.

“Ujarnya, apabila melangkah masuk ke masjid, mereka dapat rasakan ketenangan dan gembira melihat kecantikan dan keluasan di dalam rumah ibadah umat Islam ini,” jelas Eelin.

Seorang pelancong dari Amerika Syarikat mendengar penerangan mengenai Al-Quran.

Antara detik menarik apabila seorang guru kaligrafi merangkap ahli jawatankuasa Pemuda PGPKCNS, Cikgu Kelly Kang Woan Chin tampil menghadiahkan sebuah karya kaligrafi khas kepada MACMA Negeri Sembilan sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dalam menjayakan acara itu.

Karya tersebut menjadi simbol keindahan budaya yang saling meraikan perbezaan, bukan menghakimi.

“Ini merupakan kali pertama saya melawat sebuah masjid. Saya benar-benar rasa gembira dan tersentuh. Lawatan kali ini memberi saya pemahaman yang lebih mendalam terhadap budaya Islam dan saya juga dapat melihat bahawa antara agama yang berbeza, sebenarnya wujud banyak ruang untuk interaksi dan pertukaran yang indah.

Cikgu Kelly (kanan) menyampaikan cenderahati berupa kaligrafi Islamik yang dihasilkan kepada Eelin mewakili MACMA Negeri Sembilan.

“Saya percaya, selagi kita sanggup saling menghormati dan memahami antara satu sama lain, budaya yang berbeza juga boleh menjadi sahabat baik. Saya berharap akan ada lebih banyak peluang seperti ini pada masa hadapan, agar kita boleh belajar dan berkembang bersama-sama,” kata Cikgu Kelly.

Sementara itu, Pemuda PGPKCNS turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan rakan kerjasama yang telah menjayakan program berkenaan.

Para peserta bergambar kenangan di dalam Masjid Sri Sendayan yang berjaya menyatukan perpaduan antara umat Islam dan masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Melangkah masuk bukan sekadar tindakan fizikal, tetapi langkah awal menuju kefahaman, rasa hormat dan perpaduan.

“Program ini membuktikan bahawa pendekatan saling mengenali, menghormati dan menghargai keunikan budaya dan agama masing-masing adalah kunci kepada pembinaan negara bangsa yang kukuh dan sejahtera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button