Bazar Cina Muslim: Platform niaga, dakwah MACMA Negeri Sembilan
PENGANJURAN Bazar Cina Muslim sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Sungai Ujong Walk baru-baru ini berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung.
Program anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Negeri Sembilan itu berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Januari lalu.

Ia menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional Cina halal yang disediakan oleh peniaga Muslim termasuk dalam kalangan muallaf.
Presiden MACMA Negeri Sembilan, Shafiq Lee Abdullah berkata, program itu bukan sekadar medan mencari rezeki, tetapi juga sebagai platform dakwah kepada masyarakat bukan Islam.
“Penganjuran bazaar ini bukan sahaja bertujuan membantu saudara baharu menjana pendapatan tetapi juga memberi pendedahan kepada masyarakat tentang keunikan budaya Cina Muslim,” kata Shafiq kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, selain jualan makanan, program ini juga menjadi tempat pertemuan bagi komuniti Cina Muslim di Negeri Sembilan untuk mengeratkan ukhuwah serta berkongsi pengalaman hidup sebagai orang Islam.

Sementara itu, Bendahari MACMA Negeri Sembilan, Tan Eelin memberitahu, bazar itu diadakan setiap tahun dan menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
“Kami berharap melalui acara sebegini, ia mampu menjadi jambatan dakwah yang berkesan kepada masyarakat bukan Islam.
“Ini kerana sebenarnya ramai daripada kaum Cina yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang agama Islam. Jadi, di samping berusaha mencari rezeki dengan berniaga, kami juga dapat menyebarkan kebaikan Islam kepada mereka,” ujar Eelin.
Menurut Eelin, selepas ini mereka akan mengadakan acara serupa sempena bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Inilah misi kami di MACMA yang bersifat serampang dua mata iaitu membantu golongan muallaf meraih pendapatan dan menyebarkan dakwah kepada komuniti,” katanya.
Apa yang pasti, bagi golongan muallaf seperti Shafiq dan Eelin, mereka masih tetap meraikan perayaan dan pesta kaum Cina selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat.
Apatah lagi, Islam satu agama yang syumul dan membawa kedamaian buat umatnya dan seluruh alam.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran, ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah ialah Islam.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





