GSF : Rundingan deklarasi pembebasan masih tertangguh
KUALA LUMPUR – Rundingan membawa pulang peserta Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel tertangguh apabila proses menandatangani deklarasi pembebasan tidak dapat diteruskan kerana wakil perundangan (ADALAH) yang dilantik tidak dapat mengadakan pertemuan dengan pihak Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, meskipun proses rundingan fasa kedua itu tergendala, kesemua delegasi Malaysia yang terbabit dalam misi berkenaan disahkan berada dalam keadaan selamat dan stabil.
“Pihak Sekretariat Nasional Konvoi Sumud (SNCC) telah berhubung dengan wakil ADALAH yang dilantik, selain mendapat bantuan barisan peguam daripada Sentra di Jordan.
“Kita sahkan bahawa semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik. Namun, pada peringkat awal keseluruhan delegasi GSF dihalang daripada mendapat hak konsultasi dan akses kepada peguam.
“ADALAH hanya sempat bertemu dengan 20 individu sebelum proses rundingan seterusnya tergendala,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Ahmad Sani, fasa kedua rundingan itu amat penting kerana ia merupakan peringkat akhir sebelum pembebasan tahanan oleh rejim Israel diteruskan.
“Sekiranya pertemuan itu dapat dijayakan, deklarasi rasmi boleh ditandatangani sekali gus membolehkan peserta flotila dibebaskan daripada tahanan Israel,” ujarnya lagi.
Beliau turut berharap proses rundingan dapat diteruskan segera agar semua aktivis kemanusiaan yang ditahan dapat kembali dengan selamat dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








