BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Penceramah motivasi popular ditahan ubah suai nombor plat elak dikesan AWAS

HULU SELANGOR – Seorang penceramah motivasi popular berusia 50 tahun ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan mengubah suai nombor pendaftaran kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya bagi mengelakkan dikesan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, lelaki itu memasang nombor pendaftaran tulen di bahagian hadapan kenderaan, namun menggunakan nombor hampir sama di bahagian belakang dengan menggugurkan satu huruf.

“Tindakan itu menyebabkan saman berjumlah lebih RM12,600 yang terkumpul sejak September 2023 dikeluarkan kepada pemilik nombor pendaftaran hampir sama, seorang individu dari Perlis sehingga dia disenarai hitam atas kesalahan yang tidak dilakukannya,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang, di sini hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan terbongkar selepas pemilik asal membuat laporan apabila dikenakan tindakan senarai hitam, sebelum siasatan mendapati saman-saman tersebut dilakukan oleh kenderaan lain dengan model sama tetapi berbeza warna.

Hasil risikan, lelaki berkenaan ditahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang pada pukul 9.30 malam, Sabtu lalu bersama kenderaan terbabit.

Related Articles

Siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran belakang bertulis ‘RF’ itu sebenarnya milik individu lain yang mempunyai 42 saman AWAS.

“Lelaki terbabit mengaku mengubah suai nombor plat belakang bagi mengelak dikesan AWAS.

“Semua saman yang tersalah rekod kini telah dipindahkan semula kepada kenderaan sebenar,” jelas Muhammad Kifli, memetik laporan Metro Online.

Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu, manakala kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button