Gagal bayar saman tertunggak, 2 juta pengguna jalan raya bakal disenarai hitam – JPJ
KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran tegas kepada hampir 2 juta pengguna jalan raya agar segera menjelaskan saman tertunggak bagi mengelak disenarai hitam dan dikenakan tindakan lebih berat.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesemua mereka berdepan risiko berkenaan susulan kegagalan melunaskan saman pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) [Saman 53A], Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

Katanya, selain risiko disenarai hitam, pesalah jalan raya turut berdepan kadar kompaun dinaikkan kepada RM300 serta pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).
“Namun, mereka masih diberi peluang menyelesaikan saman melalui tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga jenis kesalahan tersebut yang dilancarkan sejak awal Januari lalu sehingga akhir Disember ini.
“Berdasarkan statistik Januari hingga semalam, lebih 1.45 juta saman dikeluarkan membabitkan notis AWAS, diikuti 296,684 saman notis 114 dan 164,598 notis 115.
“Malah ada saman yang dikesan berusia lebih 15 tahun,” katanya pada sidang media selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di Akademi JPJ Wilayah Timur, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan Terowong Menora di Ipoh merupakan lokasi dengan jumlah saman AWAS tertinggi, mencecah sehingga 3,000 saman sehari.
“Kesalahan yang kerap dilakukan di lokasi itu adalah memandu melebihi had kelajuan 80 kilometer sejam, khususnya ketika musim cuti sekolah dan perayaan.
“Tiga negeri lain yang mencatatkan jumlah saman tertinggi ialah Selangor, Perak dan Johor, seiring dengan jumlah kamera AWAS yang dipasang di negeri-negeri terbabit,” katanya memetik laporan BH Online.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan segera memanfaatkan tawaran kompaun khas RM150 dengan potongan 50 peratus yang masih dibuka, sebelum tindakan lebih tegas dikuatkuasakan oleh JPJ.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





