Pekerja e-hailing perlukan hingga 700 liter petrol sebulan untuk laksanakan tugas
KUALA LUMPUR – Pekerja e-hailing dan penghantaran memerlukan antara 600 hingga 700 liter petrol sebulan bagi melaksanakan operasi harian sepenuh masanya.
Pengerusi Majlis Gig Malaysia (MyGig), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kelayakan 300 liter diperuntuk menerusi program Budi Madani RON95 (RON95) adalah tidak mencukupi dan tidak selari dengan realiti kerja lapangan kelompok itu yang melibatkan perjalanan jauh dan masa operasi panjang.
Tambah beliau, maklum balas itu berdasarkan pandangan disuarakan pada Mesyuarat Agung pertama MyGig semalam bersama lebih 60 wakil penggiat industri gig.
“Ramai antara mereka terkesan dan terpaksa menanggung kos tambahan tinggi.
“MyGig turut mencadangkan mekanisme khas bagi menilai semula kelayakan dan keperluan penggiat industri secara berkala supaya bantuan disalurkan memberi impak kepada golongan sasaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Mohd. Sharkar turut menyatakan harapan supaya kerajaan dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) selepas kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat.
“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat advokasi dan kawal selia, malah berperanan penting dalam menyeimbangkan kuasa kapitalisme digital supaya lebih adil serta beretika,” katanya lagi.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan kerajaan akan berurusan dengan penyedia perkhidmatan e-panggilan (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan untuk petrol bersubsidi.
Kementerian Kewangan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan EHO pada minggu ini.
Menerusi inisiaitf BUDI95, semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah dapat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 sen seliter.
Warga asing yang memandu kenderaan pendaftaran Malaysia pula akan membayar harga pasaran, ditentukan kerajaan pada setiap hujung bulan.
Bagi bulan ini, harga RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






