YouTube bayar AS$24.5 juta, selesai saman Trump
WASHINGTON – Platform perkongsian video YouTube bersetuju membayar pampasan sebanyak AS$24.5 juta (RM116 juta) kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali gus menyelesaikan saman yang difailkan pada 2021 berhubung penggantungan saluran selepas insiden serangan 6 Januari di Capitol Hill.
Google, syarikat induk YouTube, menjadi antara gergasi teknologi terkini yang membuat bayaran berjuta dolar kepada Trump berhubung keputusan menutup akaun media sosialnya.
Trump sebelum ini menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Alphabet, Sundar Pichai dalam saman berkenaan dengan mendakwa YouTube memiliki ‘penguasaan luar biasa’ terhadap hal berkaitan awam di AS.
Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan penggantungan dibuat selepas Trump melanggar dasar laman berkenaan dengan menyebar kandungan yang didakwa mencetuskan keganasan.
Susulan penyelesaian tersebut, kes berkenaan kini digugurkan. Google pula enggan mengulas lanjut ketika diminta media.
Perkembangan itu hadir hanya seminggu selepas YouTube mengumumkan akan membenarkan semula pencipta kandungan yang sebelum ini disekat kerana menyebarkan maklumat salah mengenai Covid-19 dan pilihan raya Presiden 2020.
Dalam kenyataan itu, YouTube turut menegaskan ia meraikan suara konservatif, sambil menyalahkan pentadbiran Joe Biden atas tekanan yang mendorong penggantungan akaun sebelum ini.
Awal tahun ini, Meta selaku syarikat induk Facebook turut menyelesaikan saman Trump dengan bayaran AS$25 juta, manakala platform X (sebelum ini Twitter) membuat penyelesaian AS$10 juta pada Februari lalu.
Menurut dokumen mahkamah, daripada jumlah pampasan YouTube, Trump mengarahkan sebanyak AS$22 juta digunakan bagi kerja pemuliharaan National Mall serta pembinaan dewan tarian baharu di Rumah Putih yang dianggarkan bernilai AS$200 juta.
Peguam Trump, John Coale yang mengendalikan ketiga-tiga kes itu berkata, kejayaan Trump kembali ke Rumah Putih memainkan peranan besar dalam menyelesaikan siri saman tersebut.
“Jika beliau tidak dipilih semula, kami mungkin akan terperangkap di mahkamah untuk 1,000 tahun,” katanya seperti dilapor Wall Street Journal.
Kes terhadap YouTube pada awalnya ditutup pada 2023, namun dibuka semula selepas kemenangan Trump dalam pilihan raya.
YouTube menggantung akaun Trump pada 12 Januari 2021 selepas beliau memuat naik video mempertahankan ucapan kontroversi kepada penyokongnya sebelum rusuhan di Capitol Hill. Platform itu pada ketika itu bimbang terhadap ‘risiko keganasan dunia sebenar’.
Namun pada Mac 2023, selepas Trump mengumumkan hasrat bertanding semula, YouTube mengembalikan semula salurannya dengan alasan rakyat berhak mendengar mesej daripada semua calon utama menjelang pilihan raya.
Beberapa jam selepas diaktifkan semula, Trump memuat naik video ringkas dengan kapsyen: “I’M BACK!”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







