LUAR NEGARA

Indonesia teruskan program makanan percuma walau berdepan isu keracunan makanan

JAKARTA – Kerajaan Indonesia akan meneruskan Program Makanan Bergizi Gratis (MBG) walaupun berdepan kes keracunan makanan yang menyebabkan desakan daripada pelbagai pihak supaya program itu dihentikan.

Menteri Penyelaras Pemberdayaan Rakyat, Muhaimin Iskandar menegaskan, program yang menjadi keutamaan Presiden Prabowo Subianto itu dilaksanakan bagi memastikan pengagihan nutrisi yang seimbang kepada kanak-kanak negara, lapor Tempo.

“Kita tidak boleh berhenti di tengah jalan. Seperti kata Presiden, ini adalah rintangan yang mesti kita hadapi pada tahap awal pelaksanaan program besar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Muhaimin bagaimanapun berkata, kerajaan akan melaksanakan penilaian menyeluruh bagi mengelakkan berulangnya kes keracunan dan menegaskan kerajaan tidak akan mengabaikan insiden yang berlaku.

“Kerajaan akan mengikuti arahan Presiden Prabowo Subianto dengan serius untuk menilai serta memperbaiki pelaksanaan program MBG dan terus mendengar serta tidak melanjutkan semua input masyarakat,” jelasnya.

Related Articles

Menurut data Pusat Inisiatif Pembangunan Strategik Indonesia (CISDI) sebanyak 5,626 kes keracunan makanan akibat MBG direkodkan di 16 daripada 17 daerah dari 17 Januari hingga 18 September lalu.

Jaringan Pemantauan Pendidikan Indonesia (JPPI) turut mencatat peningkatan mendadak jumlah mangsa daripada 1,376 kes pada akhir Jun kepada 6,452 kes minggu lalu.

Sebagai tindakbalas, Muhaimin, berkata kerajaan akan menilai semula keseluruhan rantaian pelaksanaan MBG, termasuk bekalan bahan mentah, pemprosesan, serta memastikan pengagihan yang dilakukan oleh Unit Perkhidmatan Pemenuhan Gizi (SPPG) mematuhi prosedur.

Selain itu, setiap dapur kini diwajibkan memiliki Sijil Laik Higiene dan Sanitasi (SLHS).

Bagaimanapun, setakat ini Pejabat Staf Presiden merekodkan hanya 34 daripada kira-kira 8,500 dapur MBG yang mempunyai sijil sah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button