BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Jasad kakitangan JKR terjatuh dari bot ditemukan

ROMPIN – Seorang kakitangan Jabatan kerja Raya (JKR) Pahang yang dilaporkan hilang selepas terjatuh bot di Sungai kedaik Asal, dekat Kampung Kedaik, Muadzam Shah, di sini, semalam, ketika memancing ditemukan lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata mayat mangsa, Saharudin Harun, 44, ditemukan terapung di permukaan sungai oleh pasukan mencari dan penyelamat pada jam 11.25 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, ketika ditemukan mayat mangsa dalam keadaan sempurna dan lengkap berpakaian.

“Berdasarkan siasatan mangsa dan rakannya tidak memakai jaket keselamatan ketika kejadian dan Saharudin dipercayai tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi semalam, Saharudin yang bertugas sebagai pembantu makanikal di JKR Kuantan dan rakannya berusia 48 tahun, menaiki bot di sungai berkenaan untuk memancing.

Bot itu dilaporkan tersangkut tali pukat menyebabkan mangsa tercampak ke sungai dan hilang dihanyutkan arus.

Rakan mangsa cuba menyelamatkan Saharudin tetapi gagal kerana arus deras dan enjin bot mereka naiki tidak dapat dihidupkan.

Operasi mencari dan menyelamat disertai bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan sejurus mangsa dilaporkan hilang pada jam 10:28 pagi semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button