Penutup saluran kumbahan dalam keadaan baik – JKR
KUALA LUMPUR – Sistem Rawatan Kumbahan Kecil (SSTS) di tapak tragedi seorang murid terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai kelmarin, didapati dalam keadaan baik.
Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, penutup lubang utiliti (manhole) yang diambil untuk tujuan siasatan oleh pihak polis juga masih sempurna, tiada kecacatan dan berada dalam keadaan baik.
“Jabatan ini memandang serius insiden tersebut dan telah menghantar pasukan JKR negeri ke lokasi pada pukul 5.30 petang, hari yang sama, bagi meninjau keadaan dan menjalankan siasatan awal.
“JKR Malaysia bersimpati dan amat berdukacita dengan kejadian yang meragut nyawa seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” menurut JKR dalam kenyataan hari ini.
Agensi itu turut menasihati orang awam supaya menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan pihak berkuasa, selain menegaskan pihaknya sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh kepada polis.
“Orang awam juga diminta sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang aduan atau kerosakan aset awam yang boleh membahayakan keselamatan,” kata kenyataan itu lagi.
Terdahulu, media melaporkan insiden yang berlaku pada 27 September lalu menyebabkan murid tahun tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di kawasan sekolah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








