BERITA SEMASA

TBG jadi hab utama pengangkutan ke Pantai Timur

GOMBAK – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini diyakini mampu menjadi hab utama pengangkutan awam ke Pantai Timur selepas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun terminal moden itu sudah mula beroperasi sejak April lalu, tahap penggunaannya masih rendah kerana kerajaan belum mewajibkan semua bas ekspres ke Pantai Timur beroperasi dari situ.

“Kita akan menilai semula perancangan sedia ada dan memastikan bas ekspres, khususnya ke Pantai Timur, bermula atau tiba di terminal ini.

“Harapan kita TBG dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian di sini, hari ini.

Menurut Anthony, TBG mempunyai kelebihan kerana lokasinya bersebelahan dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal dihubungkan terus dengan eskalator dan walkalator, selain akan diintegrasikan dengan perkhidmatan LRT.

Beliau turut berkata, pembangunan sekitar kawasan terminal akan dilengkapi dengan kediaman, ruang komersial serta pelbagai kemudahan lain.

“Konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) ini penting kerana memudahkan masyarakat mendapatkan akses kepada pengangkutan awam, jabatan kerajaan, kesihatan dan pendidikan dalam satu kawasan,” katanya lagi.

Jelasnya, TBG juga bakal menempatkan ruang niaga, komersial serta berpotensi menempatkan agensi kerajaan utama seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kalau agensi kerajaan ditempatkan di sini, ia akan memudahkan urusan orang ramai. Mereka boleh datang dengan LRT dan berurusan dalam kawasan selesa tanpa perlu risau tentang parkir,” katanya lagi.

Projek TBG yang dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta (PPP) dengan konsesi 25 tahun itu menelan kos RM307.4 juta.

Ia membabitkan terminal tujuh tingkat dengan ruang komersial, 125 petak bas untuk ketibaan, pelepasan dan parkir serta mampu menampung 700 perjalanan bas sehari dengan kapasiti sehingga 25,000 penumpang harian.

Setakat ini, sebanyak 30 pengendali bas ekspres beroperasi di TBG dengan purata 3,000 perjalanan sebulan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button