Jalani saringan awal elak penyakit serius, kos rawatan tinggi – Dr Dzulkefly
SHAH ALAM – Orang ramai disaran menjalani ujian saringan kesihatan awal bagi mengelakkan risiko penyakit kronik yang boleh membawa kepada beban kewangan tinggi untuk rawatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu bukan sahaja membantu mengesan penyakit pada peringkat awal malah memberi peluang lebih baik untuk sembuh, khususnya penyakit kanser.
“Rata-rata pesakit terkejut apabila dimaklumkan menghidap kanser pada tahap tiga dan empat. Keadaan ini sudah tentu mengurangkan potensi untuk mereka sembuh sepenuhnya.

“Bayangkan apabila seorang ahli keluarga menghidap penyakit kronik, seluruh keluarga turut merasai kesannya kerana kos rawatan penyakit ini sangat tinggi,” katanya selepas melancarkan program Bald and Beautiful Day 2025 di Galeri Jualan Elmina Lakeside Mall di sini semalam.
Menurutnya, kanser payudara, kolorektal, paru-paru dan prostat merupakan antara penyakit paling banyak dikesan melalui pemeriksaan awal.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta badan bukan kerajaan (NGO) giat melaksanakan program saringan kesihatan berskala besar bagi menggalakkan masyarakat membuat pemeriksaan awal.
“KKM juga melaksanakan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang menyasarkan lebih sejuta penduduk hadir ke hospital atau klinik bagi menjalani ujian pengesanan awal.
“Kami akan melipatgandakan program kesedaran bagi membuka mata masyarakat bahawa penyakit kronik termasuk kanser masih boleh diubati sekiranya dikesan lebih awal dan saringan adalah keutamaan di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS),” katanya lagi.
Dalam program Bald and Beautiful Day 2025 itu, Dr Dzulkefly turut menyertai 267 daripada 4,000 peserta lain membotakkan kepala secara sukarela sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap perjuangan pesakit kanser.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








