POLITIK

PRN Sabah: Hajiji janji lantik Timbalan Ketua Menteri Cina jika GRS diberi mandat

KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

Menurutnya, langkah itu akan direalisasikan jika lebih ramai calon masyarakat Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya akan datang.

“Jika kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan ramai pemimpin Cina dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya ketika berucap pada Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina serta badan agama bukan Islam di Dewan Hakka, di sini malam tadi.

Secara tradisinya, salah seorang daripada tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah ialah wakil daripada kaum Cina.

Namun, selepas GRS membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional pada 2020, tiada wakil rakyat Cina yang boleh dilantik untuk jawatan itu.

Ketika ini, jawatan Timbalan Ketua Menteri disandang oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Datuk Shahelmey Yahya yang kini digantung keahliannya oleh UMNO.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, peranan serta sumbangan masyarakat Cina amat penting dalam pembangunan negeri, terutamanya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri tidak akan berkembang. Ramai pegawai keturunan Cina juga memegang jawatan kanan di kementerian, jabatan dan GLC.

“Kita mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan masyarakat Cina dalam kemajuan Sabah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button