TIDAK ada insan yang nampaknya tidak terkesan dengan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Walaupun kes-kes buli seumpama ini bukanlah perkara baharu, tetapi insiden ini sangat unik kerana mencetuskan solidariti melangkaui sempadan negara termasuk Thailand.
Tidak hairanlah, ia mendapat liputan meluas sehingga menjadi perbualan hangat di media sosial. Pelbagai pihak menyuarakan pandangan, menyokong atau menyalahkan, seolah-olah keputusan siapa yang bersalah telah ditentukan.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘trial by media’ iaitu satu bentuk ‘perbicaraan tidak rasmi’ oleh media dan awam yang berpotensi mencemari prinsip asas keadilan.
Jika mahkamah memerlukan bukti untuk menentukan bersalah atau tidak, media sosial pula hanya perlukan emosi.
Trial by media merujuk kepada keadaan apabila media massa atau media sosial membentuk persepsi bersalah atau tidak bersalah seseorang individu, sebelum keputusan rasmi diumumkan oleh sistem perundangan.
Dalam era digital, media sosial seperti TikTok, Facebook dan X (dulu Twitter) menjadi ‘mahkamah terbuka’ tanpa hakim dan peguam bela, hanya emosi, simpati dan spekulasi.
Trial by media berlaku sekurang-kurangnya dalam dua zaman perkembangan media iaitu zaman legasi media massa dan era hari ini iaitu termasuk media sosial.
Dalam media massa, liputan sensasi akhbar, televisyen atau portal berita membentuk persepsi sebelum keputusan mahkamah dibuat.
Laporan sering dipacu oleh tajuk berita dramatik dan analisis berat sebelah demi menarik pembaca.
Di media sosial pula, fenomena ini lebih pantas kerana setiap individu boleh menjadi ‘wartawan segera’.
Komentar, ciapan dan perkongsian mencipta gelombang pendapat awam yang sukar dikawal.
Walaupun belum ada bukti sahih, individu boleh dihukum melalui kecaman maya.
Kedua-duanya membuktikan kuasa media membentuk imej, mempengaruhi reputasi dan mengganggu prinsip asas keadilan.
Dalam kes Zara, muncul ‘pakar patalogi TikTok’ yang membuat dakwaan sensasi tanpa fakta sah.
Lebih membimbangkan, saksi-saksi yang terlibat dilaporkan menerima ancaman malah identiti pelajar bawah umur turut tersebar. Perbuatan itu jelas melanggar undang-undang dan etika.
Dunia pernah menyaksikan kuasa media mempengaruhi persepsi keadilan.
Antaranya kes O.J. Simpson di Amerika Syarikat (1994–1995) yang digelar trial of the century.
Siaran langsung mahkamah menarik 150 juta penonton, namun liputan berat sebelah membentuk persepsi masyarakat sebelum keputusan dijatuhkan.
Kes Lindy Chamberlain di Australia (1980) lebih tragis.
Beliau dipenjara seumur hidup selepas dituduh membunuh anaknya, Azaria ketika berkhemah di Ayers Rock walaupun berulang kali mendakwa anaknya dibawa lari oleh dingo iaitu anjing liar.
Enam tahun kemudian, bukti baharu ditemui dan beliau dibebaskan. Namun reputasinya telah lama tercemar.
Mahkamah membatalkan sabitan tersebut dan 32 tahun kemudian, koroner Australia secara rasmi mengesahkan Azaria dibunuh oleh dingo, bukan ibunya.
Kedua-dua kes ini membuktikan bagaimana media mampu menghukum lebih awal daripada mahkamah, sedangkan prinsip asas keadilan menegaskan: “Seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.”
Dalam kes Zara, siasatan forensik dan inkues telah dijadualkan. Namun, media sosial telah terlebih dahulu ‘mengadili’ pelbagai pihak iaitu dari pelajar sekolah, guru, warden asrama hingga ibu bapa mangsa dan suspek.
Kegilaan ini mengaburkan fakta sebenar dan boleh menjejaskan integriti siasatan serta keberanian saksi tampil memberikan keterangan.
Adakah keadilan boleh ditegakkan jika setiap bukti yang dikumpul dikalahkan oleh klip TikTok, ciapan emosional atau kenyataan berunsur fitnah?
Sebagai masyarakat celik teknologi, kita perlu memahami bahawa proses kehakiman menuntut kesabaran dan ketepatan, bukan tekanan dan provokasi.
Etika kewartawanan juga menggesa agar media melaporkan dengan adil, seimbang dan berlandaskan fakta, bukan mengejar klik dan sensasi.
Sama ada melalui siaran berita rasmi atau perkongsian media sosial, kita semua memikul tanggungjawab untuk tidak menambah luka kepada keluarga mangsa mahupun suspek yang juga mempunyai hak dilindungi undang-undang.
Dari perspektif Islam, prinsip keadilan dan tabayyun (penyemakan fakta) amat ditekankan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya…”
Ayat ini jelas menunjukkan larangan menyebarkan berita tanpa pengesahan. Dalam konteks trial by media, ia membawa maksud bahawa masyarakat tidak boleh sewenang-wenangnya menghukum seseorang hanya berasaskan cerita separuh masak di media sosial.
Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa seorang Muslim wajib menjaga lisannya.
Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis ini menegaskan bahawa menyebar fitnah dan berita palsu adalah dosa besar, apatah lagi jika ia melibatkan maruah dan nyawa manusia.
Dalam perspektif kewartawanan, etika kewartawanan menuntut laporan yang adil, seimbang dan berlandaskan fakta.
Namun, pada era digital, tekanan untuk mengejar klik dan tontonan sering menenggelamkan prinsip ini.
Netizen pula harus sedar, kebebasan untuk klik share atau forward bukan tiket untuk menyebarkan cerita yang belum sahih.
Keterujaan untuk menjadi ‘orang pertama’ yang melaporkan berita boleh mengundang fitnah dan dosa serta menjejaskan proses keadilan.
Untuk yang berpegang kepada ajaran Islam, haruslah sentiasa ingat Islam meletakkan amanah sebagai teras dalam menyampaikan maklumat.
Kita semua, sama ada wartawan atau pengguna media sosial, memikul amanah untuk tidak menambah luka kepada keluarga mangsa mahupun suspek, yang juga berhak dilindungi undang-undang.
Kita tidak boleh mengulangi kesilapan Australia empat dekad lalu, membiarkan media menenggelamkan suara mahkamah.
Dalam kes Zara Qairina, keadilan hanya akan tercapai melalui siasatan teliti, keterangan saksi yang dilindungi serta keputusan hakim yang bebas daripada tekanan emosi awam.
Netizen bukan hakim, media bukan pendakwa dan mahkamah sosial bukan saluran untuk menghukum. Dalam semua kes, kebenaran tetap milik bukti, bukan spekulasi.
Oleh DR ROSNINAWATI HUSSIN & DR SITI SURIANI OTHMAN
Penulis merupakan Pensyarah Kanan,
Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








