Oleh DR SITI SURIANI OTHMAN
TULISAN bertajuk ‘Untungnya Guru Berbanding Pensyarah’ oleh Dr Safiyyah Ahmad Sabri yang disiarkan sebuah portal media tempatan baru-baru ini, membuka semula perbincangan penting yang telah lama terpendam.
Ia berkaitan ketidakseimbangan pengiktirafan antara dua profesion pendidik utama iaitu guru dan pensyarah.
Secara prinsipnya, kedua-dua profesion ini memikul beban dan tanggungjawab besar dalam melahirkan generasi berilmu dan berakhlak.

Guru memainkan peranan asas dalam membentuk kemahiran awal dan nilai moral murid, manakala pensyarah pula berperanan mematangkan pemikiran, membentuk profesionalisme dan mencorak hala tuju kerjaya pelajar di peringkat pengajian tinggi.
Namun begitu, walaupun beban tugas kedua-dua golongan ini hampir setara seperti bekerja hingga lewat malam, hujung minggu, menyelia tugasan dan menyelesaikan masalah pelajar, pensyarah sering kali dilihat ketinggalan dari segi ganjaran dan pengiktirafan.
Ini termasuklah dari sudut gaji, kemudahan penyelidikan serta keseimbangan kerja dan kehidupan.
Kesatuan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan CUEPACS sering memperjuangkan kebajikan guru.
Sebaliknya, peranan Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dalam mewakili suara pensyarah masih kurang menyerlah dan perlu diperkasa.

Tanpa satu badan yang benar-benar kukuh dan aktif, kebajikan pensyarah akan terus terpinggir.
Di Finland, guru perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana dan status mereka disetarakan dengan doktor dan jurutera dari segi gaji serta pengiktirafan sosial.
Pensyarah pula menikmati kebebasan akademik, akses geran penyelidikan dan latihan profesional secara berterusan.
Di Singapura, guru dan pensyarah mempunyai laluan kerjaya yang jelas dengan insentif seperti cuti penyelidikan berbayar, peluang kenaikan pangkat dan kerjasama industri.
Di universiti-universiti awam seperti Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), pensyarah diiktiraf melalui elaun prestasi dan dana penyelidikan yang kompetitif.
Di Amerika Syarikat, peranan persatuan akademik seperti American Association of University Professors (AAUP) sangat signifikan.
AAUP memperjuangkan kebebasan akademik, kontrak tetap yang adil dan menerbitkan laporan tahunan mengenai gaji pensyarah bagi mendesak perubahan dasar institusi pengajian tinggi.
Pensyarah tidak boleh dipecat dan bebas menyuarakan pandangan dalam kuliah, penulisan mahupun penyelidikan tanpa tekanan politik atau pentadbiran.
Melihat kepada perkembangan global ini, sudah tiba masanya Malaysia menyelaraskan semula sistem ganjaran dan pengiktirafan terhadap pensyarah.
Beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan:
- Semakan struktur gaji pensyarah melalui mekanisme yang mengambil kira kos sara hidup dan beban kerja semasa.
- Pemberian elaun penyelidikan dan persidangan kepada pensyarah berprestasi tinggi walaupun tidak memperoleh geran utama, agar mereka tidak dibebani kos menggunakan wang sendiri.
- Pengukuhan badan profesional seperti MAAC agar mampu memperjuangkan suara dan hak pensyarah secara sistematik.
- Kempen kesedaran awam dan media untuk menyeimbangkan persepsi masyarakat terhadap pensyarah, setanding dengan penghormatan yang diberikan kepada guru.
Ketidakseimbangan pengiktirafan antara guru dan pensyarah bukan isu kecil, apatah lagi dalam era Malaysia MADANI yang menuntut keadilan sosial dan pengupayaan ilmu.
Negara-negara lain telah lama menyantuni kedua-dua golongan pendidik ini dengan adil dan bermaruah.
Maka, Malaysia juga wajar melangkah ke hadapan dengan sistem yang lebih inklusif dan saksama.
Sudah tiba waktunya kita mengangkat martabat semua pendidik, dari bilik darjah ke dewan kuliah agar sama-sama dapat membina bangsa yang berilmu, beradab dan berdaya saing.
* Penulis merupakan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


