Perwakilan lulus usul Pas pimpin PN hadapi PRU16
ALOR SETAR – Perwakilan Muktamar Tahunan Pas Pusat sebulat suara meluluskan usul supaya parti itu memimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 PRU16.
Wakil Dewan Pemuda Pas, Mohd Faizuddin Mohd Zai ketika membentangkan usul tersebut berkata, parti itu perlu mengambil alih teraju dalam PN kerana gabungan pembangkang itu dilihat tepu dan tiada hala tuju yang jelas, lapor FMT, hari ini.
“Kita telah bincangkan isu sosial, isu ekonomi dan kita bincang bagaimana nak selamatkan negara kita. Tetapi, jangan lupa ada satu perkara yang mesti kita selamatkan sebelum kita masuk ke PRU16.
“Rakyat sedang menunggu untuk kita ambil alih kepimpinan PN dan bangkit mengangkat perjuangan PN. Hari ini orang lihat PN lemau, tepu, tiada hala tuju yang jelas dan hilang fokus,” katanya.
Faizuddin berkata demikian ketika membahaskan usul itu di bawah tajuk pemerkasaan PN yang kemudian disokong perwakilan untuk dimuktamad pimpinan tertinggi parti.
Tambahnya, Pas juga mahu meremajakan PN dengan memberi nafas baharu sekali gus memberi isyarat kepada rakyat bahawa parti itu sedia memimpin negara.
Menyentuh kenyataan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya calon perdana menteri PN haruslah seorang yang sihat dan berusia bawah 70 tahun, Faizuddin berkata itu adalah isyarat bahawa jawatan itu perlu digalas oleh Pas.
“Ini merupakan isyarat besar dan penting untuk difahami oleh ahli bahawa perdana menteri akan datang perlu lahir dan digalas oleh pemimpin parti ini,” katanya.
Sementara itu, Perwakilan PAS Shah Alam Mohamed Sukri Omar yang menyokong usul itu berkata cadangan itu dibuat selepas mengambil kira pengalaman Pas dalam politik negara, selain fakta bahawa parti itu mempunyai jumlah kerusi tertinggi dalam PN.
“Kita bukan mahu merampas (kepimpinan PN) tetapi kita mahu menjadi benteng utama mengembalikan kepercayaan rakyat dan keyakinan rakyat kepada PN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








