Tindakan tegas menanti pihak ambil kesempatan timbulkan kekecohan di Kampung Sungai Baru
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memberi amaran pihak yang menimbulkan kekecohan ketika operasi pengosongan ke atas 37 unit rumah di Kampung Sungai Baru, di sini akan dikenakan tindakan.
Fadil berkata, penduduk terlibat memberi kerjasama sepenuhnya terhadap proses berkenaan, namun wujud pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“Ada pihak yang ambil kesempatan buat tindakan melebihi had hingga menyebabkan OCPD saya cedera dibaling objek. Benda begini buatkan saya marah.
“Saya tidak akan benarkan (perkara sedemikian) berlaku lagi dan saya mohon kerjasama semua pihak untuk beri kerjasama dalam menyelesaikan operasi ini,” katanya dalam satu sidang media, hari ini
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala dipercayai akibat terkena balingan objek oleh individu yang belum dikenal pasti.
Operasi pengosongan itu dilaksanakan selepas tertangguh selama beberapa tahun akibat pertikaian berhubung projek pembangunan semula yang mula dicadangkan pada 2016 bagi menggantikan flat PKNS dan rumah teres kampung tersebut dengan pembangunan bercampur bertingkat tinggi.
Walaupun majoriti penduduk flat bersetuju dengan rancangan itu, beberapa pemilik rumah teres membantah, menyebabkan kelewatan.
Kata Fadil, penduduk yang diminta mengosongkan unit mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada operasi berkenaan.
“Ada beberapa masalah, yang mana ada penghuni memberi alasan tidak dapat berpindah hari ini, tetapi kita akan cuba permudahkan.
“Bagaimanapun, operasi pengosongan ini perlu dibuat hari ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








