[VIDEO] Tahun Baharu Cina: Main mercun, bunga api tanpa kebenaran dilarang
KUALA LUMPUR – Sebarang aktiviti melibatkan pemilikan, penjualan, pembelian atau bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang disambut Selasa ini, adalah dilarang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.
@malaysiatribune Pembakaran mercun tanpa permit satu kesalahan, tangkapan boleh dibuat – Ketua Polis KL #malaysiatribune #beritasemasa #pdrm
“Namun, penjualan kedua-dua jenis bunga api ini masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan dan perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Mana-mana individu memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api selain daripada dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, katanya, masyarakat juga diingatkan untuk tidak bermain mercun dan bunga api melebihi pukul 12 tengah malam kerana ia boleh mendatangkan gangguan atau membahayakan keselamatan orang awam.
“Jika ingkar, tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat serta mengelak kejadian tidak diingini sepanjang sambutan perayaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








