BERITA SEMASA

Wan Rosdy ketuai delegasi Malaysia ke Forum IMT-GT di Thailand

KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ketua Menteri dan Gabenor (CMGF) Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Trang, Thailand sejak Selasa lalu.

Wan Rosdy berkata, kepercayaan yang diberikan kepada Pahang untuk mewakili Malaysia di forum itu membuktikan negeri tersebut diiktiraf di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Katanya, platform itu bukan sahaja membolehkan negara anggota berkongsi pandangan dan menangani cabaran bersama, malah turut merangka hala tuju pembangunan masa depan rantau ini.

“Sejak ditubuhkan pada 1993, IMT-GT telah menjadi wadah penting memperkukuh kerjasama serantau bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi tetapi juga dalam keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Dalam pertemuan itu, beliau menekankan kepentingan beberapa bidang utama termasuk infrastruktur, transformasi digital, pembangunan mampan dan kesalinghubungan rakyat ke rakyat.

Wan Rosdy turut berkongsi lima projek utama di Pahang iaitu pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan pelaksanaan projek pemecut ekonomi (LEAPs) di tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menjadikan Gebeng sebagai Taman Perindustrian Halal serantau serta pembangunan industri daging lembu Wagyu dan tenusu.

Selain itu, beliau memberi tumpuan kepada promosi Visit Pahang bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 serta pembangunan Geopark Lipis ke arah pengiktirafan sebagai Geopark Global UNESCO.

“Inilah kunci untuk menjadikan rantau kita lebih berdaya saing, inklusif dan makmur. Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, IMT-GT mampu membuka potensi penuh rantau ini demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button