BERITA SEMASA

Liputan internet, komunikasi di kawasan berpenduduk capai 98.82 peratus

KUALA LUMPUR – Kadar liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk dalam negara sudah mencapai 98.82 peratus.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, angka setakat 31 Julai itu dapat dicapai menerusi komitmen Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sebagai pelaksana inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Di bawah JENDELA, sebanyak 4,179 daripada 4,574 menara komunikasi baharu telah siap dan beroperasi, manakala sebanyak 47,747 daripada 47,878 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf.

“Pada masa yang sama, sebanyak 4,471,588 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan 839 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit atau Broadband Wireless Access (BWA),” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Azhar Hassan mengenai langkah kementerian dalam memastikan capaian internet berkelajuan tinggi dapat diperluaskan ke seluruh negara di Dewan Negara, hari ini.

Nie Ching turut berkata, MCMC kini sedang merangka solusi tambahan menerusi Pelan JENDELA Fasa 2 bagi memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar di seluruh negara.

Berkenaan liputan 5G, beliau berkata, Digital Nasional Berhad sudah menyiapkan 7,489 tapak pemancar 5G, yang secara keseluruhan telah menyediakan 82.4 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.

“Bagi rangkaian 5G kedua yang dibangunkan oleh U Mobile Sdn Bhd, 1,232 tapak telah dinaik taraf kepada liputan 5G sejak mula beroperasi pada 14 Julai 2025, dengan jumlah langganan telah melebihi 28 juta pengguna dan kadar penembusan jalur lebar mudah alih 5G bagi 100 penduduk adalah 82.7 peratus,” katanya lagi.

Jelas beliau, kerajaan ketika pmbentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah menetapkan sasaran untuk mencapai 98 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk dan kawasan perindustrian termasuk kawasan desa menjelang tahun 2030.

Beliau kemudiannya memberitahu, Kerajaan turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of Presence (PoP) hab gentian optik.

“Sehingga 12 Ogos 2025, sebanyak 677 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya bagi Fasa 1 manakala 1,468 PoP daripada 3,693 PoP bagi Fasa 2 telah berjaya disiapkan di seluruh negara, menjadikan 163,906 port telah tersedia dengan sambungan gentian optik dengan kelajuan sehingga 1Gbps,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button