
GERAMM sokong RUU Pekerja Gig, mahu perlindungan adil untuk wartawan bebas
KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dilihat mampu memperkukuh perlindungan kepada golongan pekerja gig, kontrak, sambilan dan bebas di negara ini, termasuk wartawan dan pengamal media bebas.
Menurut GERAMM, langkah itu amat penting memandangkan ramai wartawan sambilan, pemberita bebas, jurugambar serta juruvideo beroperasi tanpa jaminan keselamatan pekerjaan, perlindungan sosial dan insurans kesihatan yang setara dengan wartawan bergaji tetap.
“RUU ini memberi harapan baharu kepada wartawan sambilan dan bebas. Dengan adanya caruman PERKESO yang diwajibkan, mereka tidak lagi dibiarkan terdedah kepada risiko kecederaan ketika liputan bencana, rusuhan atau konflik tanpa sebarang perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.
Namun, GERAMM menegaskan masih terdapat beberapa perkara yang wajar dipertimbangkan selepas RUU ini diluluskan.
“Antaranya ialah keperluan mewujudkan kontrak standard minimum bagi wartawan bebas yang merangkumi syarat pembayaran adil, hak cipta karya dan tempoh bayaran yang munasabah.
“Wartawan sambilan dan bebas juga perlu diberi akses kepada latihan profesional, bengkel keselamatan serta kursus etika kewartawanan agar mereka mendapat peluang pembangunan kerjaya sama seperti wartawan tetap,”katanya lagi.
Selain itu, skim perlindungan insurans lapangan khas perlu diwujudkan memandangkan wartawan sering dihantar membuat liputan di kawasan berisiko.
GERAMM turut menghargai langkah kerajaan memasukkan wartawan sambilan, jurugambar dan juruvideo dalam jadual pekerjaan gig bukan platform, sekali gus tidak menyamakan mereka dengan pekerja gig lain seperti penghantar makanan atau pemandu e-hailing.
Menurut GERAMM, pengiktirafan ini amat penting kerana profesion kewartawanan melibatkan risiko keselamatan yang unik serta tanggungjawab awam yang tinggi.
“Perlindungan pekerja media yang adil bukan sahaja menjaga kebajikan wartawan, tetapi juga menjamin kelangsungan laporan berita yang bebas, berkualiti dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
“Kebebasan media hanya boleh dicapai apabila wartawan tetap mahupun sambilan dilindungi secara adil dan bermaruah dalam pekerjaan mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








