BERITA SEMASA

RUU had tempoh jawatan PM10 tahun dibentang di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan melakar satu langkah penting dalam agenda reformasi institusi apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.1) 2026 yang bertujuan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

RUU tersebut dibentangkan bagi bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau memaklumkan bacaan kali kedua akan dibuat dalam sesi persidangan yang sama.

Berdasarkan naskhah RUU yang diedarkan kepada Ahli Parlimen, pindaan itu melibatkan perubahan terhadap Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Antara cadangan utama ialah memasukkan Fasal baharu (2a) yang memperuntukkan bahawa seseorang yang dilantik sebagai Perdana Menteri di bawah Perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh memegang jawatan itu melebihi tempoh 10 tahun, sama ada secara berterusan atau tidak.

Fasal baharu (4a) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan sebaik sahaja mencapai tempoh agregat 10 tahun tersebut.

Dalam masa sama, Fasal (4b) memperuntukkan bahawa anggota Jemaah Menteri turut terhenti memegang jawatan susulan pemberhentian Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Fasal (4c) membenarkan Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri yang terhenti jawatan terus melaksanakan fungsi terhad bagi memastikan kelangsungan pentadbiran harian kerajaan sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Fungsi tersebut dihadkan kepada urusan pentadbiran harian sahaja bagi mengelakkan kekosongan kuasa.

Fasal (4d) pula memperincikan kaedah pengiraan tempoh agregat 10 tahun, termasuk mengambil kira tempoh perkhidmatan sebelum pindaan berkuat kuasa.

Namun, tempoh seseorang melaksanakan fungsi sebagai Perdana Menteri selepas pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55(2) tidak akan diambil kira dalam pengiraan tersebut.

Selain itu, pindaan berbangkit turut dibuat terhadap Fasal (5) Perkara 43 susulan kemasukan Fasal baharu berkaitan pemberhentian jawatan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Fasal 1 RUU berkenaan mengandungi tajuk ringkas akta serta memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa sekiranya pindaan itu diluluskan Dewan Rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button